LAGU Bangsa Merdeka tampil dengan empat genre iaitu balada, hip hop, hardcore dan muzik Oi!.
LAGU Bangsa Merdeka tampil dengan empat genre iaitu balada, hip hop, hardcore dan muzik Oi!.
Ridzuan Abdul Rahman


Pada 2019, Silent Set Entertainment buat pertama kalinya mengeluarkan single bertema kenegaraan berjudul Tanah Merdeka genre hip hop yang dinyanyikan AzamRhadio, EmmJay dan YAPH dengan penampilan Kmy Kmo.

Terbaru pada 16 September lalu, trio sama sekali lagi mengeluarkan lagu berkonsep serupa berjudul Bangsa Merdeka.

"Projek Bangsa Merdeka sudah bermula sejak tahun lalu tapi disebabkan pandemik yang melanda dunia dan negara khususnya, ia terpaksa ditangguhkan atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan dan disambung semula tahun ini.

"Untuk single ini, kami turut menampilkan Toteng dari kumpulan oi! ConflictCrisis dan Ein dari Second Combat. Idea Bangsa Merdeka datang daripada AzamRhadio dan ditambahbaik oleh YAPH dan EmmJay. Muzik asal digubah oleh Bobo dari kumpulan Kill My Bride dan YAPH," kata mereka.

Melihatkan kepada barisan artis yang terbabit, sudah pasti lagu ini mempunyai kelainan berbanding lagu lain.

"Bangsa Merdeka menggabungkan empat genre berlainan iaitu balada, hip hop, hardcore dan oi! Dalam fikiran kami, tiada yang mustahil apabila melakukan projek Bangsa Merdeka.

"Jarang kita dapat mendengar empat genre dalam satu lagu membuatkan Bangsa Merdeka mempunyai keistimewaan tersendiri," katanya.

Bangsa Merdeka bukan saja menggabungkan penyanyi, tetapi turut berjaya menggabungkan pemuzik-pemuzik berbakat Malaysia yang juga membawa aliran muzik alternatif.

Antara pemuzik yang terbabit menjayakan Bangsa Merdeka ialah Odie dari Upon Arrival, Peakay Farhan dari Stubborn Band dan Christopher Muhammad Yusof dari Groundrule.

"Bangsa Merdeka membuktikan muzik adalah universal dan ia juga salah satu contoh dan bukti penyatuan dapat dibina melalui muzik. Kepelbagaian genre dalam Bangsa Merdeka menjadi simbolik kepada kepelbagaian bangsa di Malaysia.

"Ini juga sekali gus menguatkan lagi harapan untuk melihat pucuk kepimpinan negara bersatu demi memajukan negara sekali gus berhenti dari bertelagah mengenai hal yang remeh," kata mereka.

Barisan penyanyi Bangsa Merdeka berkata, jika golongan penggiat seni yang berlainan pendapat dan ideologi mampu bersatu di dalam sebuah lagu bertema kenegaraan, tentunya pemimpin negara boleh melakukan lebih dari itu.

"Kami yakin dan pasti pucuk kepimpinan negara tanpa mengira parti, agama dan bangsa mampu melakukan sesuatu dan berhenti memainkan isu perkauman di negara kita kerana bangsa Malaysia, bangsa yang merdeka," kata mereka.

Selain menerbitkan audio rasmi dan video lirik rasmi Bangsa Merdeka, Silent Set Entertainment juga akan mengeluarkan beberapa single dan muzik video lagu ini.

Mereka yakin dan bersiap sedia untuk mencuri perhatian peminat dan pengamal muzik tanah air agar perkembangan muzik yang sihat dapat dilaksanakan di masa hadapan.

Perkembangan lanjut mengenai Bangsa Merdeka boleh didapati menerusi Youtube Silent Set Entertainment, Instagram @silentset.ent dan Facebook Silent Set Entertainment.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 September 2021 @ 6:16 AM