ALKAMU tidak asing dikalangan peminat genre hip hop.
ALKAMU tidak asing dikalangan peminat genre hip hop.
Ridzuan Abdul Rahman


SYARIKAT indie Silent Set Entertainment terus aktif berkarya apabila memperkenalkan artis terbaru dibawah naungan mereka iaitu ALKAMU di semua platform media sosial dimiliki mereka.

ALKAMU, duo yang dianggotai oleh AL dan KR bukan lagi nama asing dalam kalangan pengikut gerakan muzik hip-hop di Malaysia.

Kehadiran ALKAMU sebagai artis Silent Set Entertainment menambahkan lagi warna-warni lagu yang diterbitkan oleh syarikat rakaman terbabit.

Duo ALKAMU juga sudah membuat penampilan sulung di dalam lagu pertama berjudul Penat terbitan Silent Set Entertainment pada tahun lalu.

"Alhamdulillah... kami sangat gembira apabila diterima menyertai syarikat rakaman indie ini.

"Ia membuktikan kerja-kerja kami dihargai dan peminat juga mudah menikmati hasil karya kami menerusi pelbagai platform digital.

"Lagu Penat adalah rekaan menerusi pemerhatian kami terhadap realiti hidup sebenar," kata mereka.

ALKAMU menaruh harapan tinggi melalui single terbaru ini memandangkan ia adalah lagu atau projek pertama mereka bersama syarikat rakaman baru.

"Sebelum ini kami berdikari dan bergerak sendiri sepenuhnya dari penghasilan lagu, muzik video dan promosi.

"Justeru menerusi kerjasama dengan Silent Set Entertainment, kami bersiap sedia untuk mencuri perhatian peminat dan pengamal muzik tanah air agar perkembangan muzik yang sihat dapat dilaksanakan dimasa hadapan," kata mereka.

Penat menampilkan dua kisah kehidupan yang dimuatkan di dalam sebuah lagu. Yang pertama mengisahkan seorang graduan yang kehilangan nikmat kehidupannya apabila mula bekerja sekali gus menimbulkan konflik di tempat kerja.

Ia sekali gus menjadikan tekanan yang diserap itu membuatkannya hilang masa-masa untuk menikmati hidup sebenar.

Kisah kedua pula menceritakan satu keluarga yang awalnya sangat bahagia dan lama kelamaan kebahagiaan itu diragut kerana sifat tolak ansur itu tiada di dalam diri seorang isteri.

Walau bagaimanapun si suami tanpa rasa Penat terus memujuk dan mengimpikan kebahagiaan yang mereka rancang dan gambarkan sebelum ini.

Silent Set Entertainment turut menghasilkan muzik video lagu Penat yang boleh ditonton menerusi saluran YouTube Silent Set Entertainment.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2023 @ 6:35 AM