ELLA terbabit dalam lagu Janji Merdeka.
ELLA terbabit dalam lagu Janji Merdeka.
Norhayati Nordin

TERUS bersama menyemarakkan semangat kemerdekaan, ada projek video menarik dihasilkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Melancarkan Projek Video Kenegaraan Bersama Selebriti dan Media, ia diterbitkan FINAS sempena meraikan Hari Kemerdekaan Ke-63.

Melalui program ini, dua video berunsur kenegaraan dan patriotik dihasil berteraskan kepada dua lagu ciptaan baharu yang istimewa.

Salah satu lagunya berjudul Janji Merdeka ciptaan Datuk DJ Dave dan lirik oleh Pui Tiong Gee.

Manakala, satu lagi lagu pula berjudul Genderang Cinta, ciptaan Asfan Shah dan lirik KuAlong.

Menariknya, lagu Janji Merdeka membabitkan penampilan beberapa penyanyi legenda negara iaitu DJ Dave sendiri, Datuk Awie, Ella, Siti Nordiana dan Siti Sarah Raissuddin.

Bagi lagu Genderang Cinta mengetengahkan gandingan penyayi 'budak baru nak up' (BBNU) seperti Wany Hasrita, Aiman Tino, Afieq Shazwan, Luqman Faiz dan Neeta.

Tidak ketinggalan, Asfan turut menyumbang suara untuk lagu ciptaannya itu kerana dihasilkan untuk Hari Kemerdekaan.

Bagaimanapun, dua video muzik lagu ini diarahkan Izuan Mokhtar dan berteraskan inisiatif memupuk semangat cintakan tanah air melalui perpaduan bangsa.

SITI Nordiana
SITI Nordiana

Menurut DJ Dave, beliau sangat berbangga apabila mendapat peluang menghasilkan lagu berunsur kenegaraan dan patriotik.

"Lagu Janji Merdeka adalah luahan kasih sayang terhadap negara yang kita cintai ini. Sejauh mana kita berjalan dan berjaya, Malaysia tetap satu-satunya negara tempat kita perlu sentiasa berpijak.

"Karya seni ini menyuntik semangat dan rasa terima kasih yang tinggi terhadap negara dan bangsa melalui perjuangan kemerdekaan diperoleh nenek moyang kita terdahulu.

"Merdeka itu bukan sekadar laungan, sebaliknya memerlukan penghayatan dari seluruh jiwa kepada tempat di mana kita lahir, dibesarkan dan membina seluruh kehidupan," katanya.

DJ Dave yang mengambil masa seminggu menyiapkan lagu Janji Merdeka, melahirkan perasaan terharu dan bertuahnya.

Sementara itu, Asfan pula menyifatkan peluang yang diberi oleh FINAS sebagai sesuatu yang bermakna dalam kerjaya seninya.

"Peluang mencipta sebuah lagu berunsur patriotik untuk negara sebegini tidak selalu hadir.

"Saya amat bersyukur dapat berkolaborasi dengan artis baharu dan lama dalam projek teristimewa ini," jelasnya.

Sehubungan itu, video muzik dua lagu ini boleh disaksikan di saluran YouTube FINAS Malaysia.

AIMAN sumbang suara untuk lagu Genderang Cinta.
AIMAN sumbang suara untuk lagu Genderang Cinta.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2020 @ 6:45 AM