HAWA Rizwana.
HAWA Rizwana.
Sudirman Mohd Tahir

 

Kuala Lumpur: Pengacara dan pembaca berita TV3, Hawa Rizwana Ahmad Redzuan yang dipilih menjadi penyampai radio Kool FM mengakui masih banyak perlu dipelajari dalam kerjaya baharunya itu.

Hawa, 26, berkata, tawaran diterima itu dianggap rezeki dan memohon doa daripada semua peminat.

"Alhamdulillah, syukur atas nikmat rezeki ini. Sejujurnya, saya masih terkejut dan tidak menjangka tawaran menjadi penyampai radio ini. Tapi, saya positif dan terima ia sebagai satu lagi cabaran baharu dalam kerjaya penyiaran.

"Dalam bidang pengacaraan saya masih baharu, ini kan pula radio. Jadi, masih banyak perlu saya pelajari. Saya terbuka dengan setiap maklum balas diberikan. Doakan semoga perjalanan saya sebagai penyampai radio dipermudahkan. Terima kasih atas kepercayaan dan sokongan semua pihak," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, RIPPLE yang juga platform radio Media Prima dalam satu kenyataan mengumumkan Hawa bersama seorang lagi pengacara TV3, Ally Iskandar bakal mengendalikan segmen pagi Kool FM bermula Isnin ini.

Turut diumumkan pelawak popular, Douglas Lim akan berganding dengan penyampai sedia ada Fly FM iaitu Ili dalam segmen pagi juga bermula Isnin ini.

Sementara, segmen Geng Pagi Hot di Hot FM menampilkan Fauzana dan AG yang akan berganding dengan Fad Bocey dalam segmen Geng Pagi Hot.

Bagi stesen radio One FM, penyampai sedia ada, Angeline pula digandingkan bersama Royce.

Royce yang juga penyampai radio berbahasa Cina membuat keputusan untuk kembali ke industri penyiaran selepas empat tahun berehat.

Selain itu, stesen radio Kool FM dan One FM juga bakal dikenali dengan jenama baharu yang akan diumumkan Isnin ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Julai 2021 @ 4:28 PM