Ally Iskandar, Hawa Rizwana dan Douglas Lim.
Ally Iskandar, Hawa Rizwana dan Douglas Lim.
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Pembaca berita Buletin Utama TV3, Hawa Rizwana; pengacara TV3, Ally Iskandar serta pelakon dan pelawak popular, Douglas Lim antara 'muka baru' diperkenalkan platform radio Media Prima Berhad, RIPPLE.

RIPPLE dalam satu kenyataan hari ini berkata, Ally dan Hawa akan mengendalikan segmen pagi stesen radio Kool FM, manakala Douglas akan berganding dengan penyampai sedia ada Fly FM iaitu Ili dalam segmen pagi bermula Isnin ini.

Ini adalah gandingan pertama Ally dan Hawa yang dikenali penonton televisyen dalam platform radio dan ia pastinya satu kejutan yang menarik.

Douglas pula pastinya akan menggunakan pengalamannya sebagai pelawak, pelakon, pengacara dan 'stand up' komedi di platform radio pula. Gandingannya bersama Ili yang mewakili generasi muda pasti akan mengujakan.

Semalam, RIPPLE mengumumkan kemasukan semula Fara Fauzana dan AG di Hot FM untuk berganding dengan Fad Bocey dalam segmen Geng Pagi Hot.

Bagi stesen radio One FM, penyampai sedia ada, Angeline pula digandingkan bersama Royce.

Royce yang juga penyampai radio berbahasa Cina membuat keputusan untuk kembali ke industri penyiaran selepas empat tahun berehat.

Selain itu, stesen radio Kool FM dan One FM juga bakal dikenali dengan jenama baharu yang akan diumumkan Isnin ini.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif RIPPLE, Nazri Noran, pada 19 Julai lalu mengumumkan transformasi perniagaan membabitkan perubahan operasi.

Ia termasuk perubahan kandungan dan barisan penyampai untuk semua stesen radio naungannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 2:03 PM