Barisan penyampai radio Media Prima. FOTO Ramlah Zainal
Barisan penyampai radio Media Prima. FOTO Ramlah Zainal
Ramlah Zainal


PENAMPILAN pengacara terkenal Jihan Muse dan penyampai radio Linda Onn dijangka akan memantapkan lagi segmen dan pengisian dalam Rangkaian Radio Media Prima pada tahun ini.

Jihan akan menjayakan gabungan trio Geng Pagi Hot (GPH) bersama Shuk, Ajak dan Fizie dalam segmen khas Story Mory Jihan bermula 17 September ini.

Manakala Linda pula akan menjayakan segmen Petang Kool di stesen radio Kool FM bermula 20 Ogos lalu.

Menurut Pengurus Kumpulan, Rangkaian Radio Media Prima, Anida Mohd Tahrim, pihaknya memilih dua personaliti terkenal itu selepas perbincangan dengan pihak pengurusan radio sebelum ini.

“Pihak kami juga menyenaraikan beberapa nama selebriti tempatan tetapi akhirnya memilih Jihan untuk segmen khas terbabit.

“Segmen pengenalan Story Mory Jihan yang ke udara selama sejam juga mendapat maklum balas yang bagus dari peminat di media sosial pagi tadi.

“Selain nama besar, Jihan juga rapat dengan Syuk serta ada keserasian untuk digandingkan bersama dalam segmen khas terbabit,”katanya.

Anida ditemui pada ‘media luncheon’ bersama barisan penyampai Hot FM dan Kool FM yang berlangsung di hotel Bandar Utama, hari ini.

Mengenai pemilihan Linda pula, kata Anida, dia juga penyampai berbakat dan berpengalaman dalam industri penyiaran tanah air.

“Pemilihan Linda selaras dengan misi untuk tampil dengan pembaharuan dan perubahan serta memberi fokus utama yang meliputi muzik dan hiburan.

“Selain penampilan dua personaliti terkenal itu, ada beberapa pembaharuan dibuat dalam segmen tertentu untuk menarik pendengar stesen Hot FM dan Kool FM,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 September 2018 @ 7:18 PM