DAPAT tawaran sejak Januari lalu. FOTO - NSTP.
DAPAT tawaran sejak Januari lalu. FOTO - NSTP.
Syafil Syazwan Jefri


PELAWAK dan penyampai radio popular, Shuib menerima pelbagai reaksi daripada pendengar apabila memulakan tugas di hari pertama sebagai penyampai di stesen radio Hot FM, hari ini.

Shuib, 35, berkata, ada pendengar yang terkejut dengan kemunculannya pagi ini dalam segmen Geng Pagi Hot (GPH) bersama penyampai Fizie dan Shuk.

GPH disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 6 hingga 10 pagi.

"Alhamdulillah, ramai memberikan reaksi positif apabila mendengar suara saya bersiaran pagi ini. Ada juga yang terkejut kerana tak sangka saya akan menyertai Hot FM," katanya.

Shuib berkata, dia menerima tawaran untuk menyertai GPH sejak Januari lalu.

"Saya ditawarkan oleh Hot FM sejak Januari lalu. Memandangkan saya pun memang merindui kerjaya sebagai penyampai radio, saya terus terima," katanya.

Sebelum ini, Shuib bersama Sinar FM selama dua tahun sebelum menamatkan perkhidmatannya.

Selepas berehat selama setahun untuk memberi tumpuan kepada perniagaan, Shuib kini mengikat kontrak bersama Hot FM selama dua tahun untuk mengendalikan segmen pagi itu.

SHUIB (tengah) kini mengendalikan Geng Pagi Hot bersama Shuk (kiri) dan Fizie. FOTO - Ripplemedia.
SHUIB (tengah) kini mengendalikan Geng Pagi Hot bersama Shuk (kiri) dan Fizie. FOTO - Ripplemedia.

Sementara itu, Ketua Audiens Melayu, Nik Nor Azura Nik Mahmood berkata, kemasukan Shuib yang berpengalaman dalam industri hiburan termasuk penyiaran radio akan merancakkan lagi segmen pagi.

“GPH akan menampilkan pengisian yang lebih segar berdasarkan kisah menarik yang berlaku dalam kalangan pendengar. Hot FM masih panjang evolusinya dan banyak idea yang ingin kami hidangkan kepada pendengar.

“Langkah ini diambil untuk kami sentiasa tampil dengan pembaharuan dan mengukuhkan lagi jenama Hot FM daripada segi muzik, hiburan dan pengisian gaya hidup terkini.

“Perubahan dilakukan termasuk kemasukan Shuib adalah berdasarkan kekuatan setiap penyampai yang kami percaya, mampu menghebahkan kandungan ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Harian Metro.

Selain itu, Hot FM turut mengumumkan pertukaran penyampai segmen seperti Muzik Hot yang akan bersiaran dari jam 10 pagi hingga 4 petang di bawah kelolaan El.

Manakala, Deen dan Haziq akan berganding dalam segmen Jam Hot dari jam 4 petang hingga 8 malam. Zetty pula akan ke udara dari jam 8 malam hingga 12 tengah malam melalui segmen Mega Hot.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 1:48 PM