DAIYAN Trisha
DAIYAN Trisha
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Pelakon dan penyanyi Daiyan Trisha, 27, mengakui dia sangat bersyukur kerana akhirnya mendapat peluang jadi sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bangi sejak semalam, selepas berbulan menunggu.

Menurut Daiyan, niat berbuat demikian sudah tercetus sejak Mei lalu dan semangatnya memang sangat berkobar untuk terbabit memberi kesedaran mengenai kepentingan pengambilan vaksin.

"Ia (pengambilan vaksin) adalah sebuah perjuangan yang benar-benar saya nak lakukan. Saya pun sudah lama tekankan advokasi mengenai kepentingan vaksin.

"Perjuangan itu sangat dekat dengan hati dan prinsip saya. Ditambah, saya pun tidak putus berkongsi mengenainya di media sosial dan menyeru semua orang mendaftar bagi mendapatkan vaksin secepat mungkin.

"Pengambilan vaksin ini sesuatu yang kita boleh kawal, berbanding pelbagai masalah lain dihadapi sekarang. Ini adalah tanggungjawab kita untuk landaikan Covid-19 demi keselamatan semua," katanya.

Pelakon drama Projek: Anchor SPM itu juga tidak menyangka pengalaman menjadi sukarelawan itu benar-benar menyeronokkan. Dia juga memilih untuk ketepikan status sebagai selebriti dan melakukan semua tugasannya tanpa pilih kasih.

"Sebelum datang ke sana, saya sudah beritahu mereka mahu jadi sukarelawan setiap minggu. Memang menyeronokkan, terutama melihat warga emas yang datang kerana saya memang sukakan orang tua.

"Apabila melihat mereka gementar, saya cuba bagi semangat. Demikian juga kakitangan yang ada, semuanya sangat membantu serta berikan tunjuk ajar tanpa ketepikan saya.

"Saya pun memang memilih untuk pergi sendirian ke sana kerana mahu rasai serta bergaul dengan mereka sebaiknya. Ia jelas turut membantu saya daripada segi kestabilan mental juga," katanya.

Dalam pada itu, Daiyan turut bersyukur belajar banyak perkara menerusi pembabitannya selaku sukarelawan.

"Sebenarnya, menjadi sukarelawan ini bukanlah wajib ada latar belakang mengenai perubatan, tapi asalkan ada semangat tinggi. Saya juga dapati, ramai sebenarnya yang nakkan vaksin tapi masih belum dapat slot," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 12:25 PM