SEMUA guru atau pendidik perlu faham bahawa tugas menyampaikan ilmu adalah suatu amanah dari Allah SWT. - Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP
SEMUA guru atau pendidik perlu faham bahawa tugas menyampaikan ilmu adalah suatu amanah dari Allah SWT. - Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP
Dr  Mohd Shukri Hanapi

Guru adalah profesion yang bertanggungjawab mendidik, membina sahsiah dan memimpin masyarakat. Tidak dinafikan, sehingga ke hari ini para guru telah banyak menyumbangkan khidmat bakti mereka dalam pembangunan bangsa dan negara, lebih-lebih lagi dalam membentuk sahsiah pelajar. 

Dalam proses pembentukan sahsiah pelajar, guru terlebih dahulu perlu mempunyai sahsiah yang baik untuk dicontohi oleh para pelajar. Dalam hal ini, Al-Marhum Profesor Emeritus  Tan Sri Dr Mohd Kamal Hasan dalam bukunya Pendidikan dan Pembangunan: Satu Perspektif Bersepadu berpandangan "Contoh teladan para pendidik inilah yang banyak membantu pembentukan akhlak pelajar. Merekalah yang seharusnya terlebih dahulu dilengkapi dengan ciri-ciri akhlak yang mulia walaupun masyarakat kurang menghargai watak-watak yang berbudi luhur."

Dari satu sudut yang lain, Abdul Halim al-Muhammadi dalam bukunya Falsafah Pendidikan Islam: Satu Perspektif Baru Dalam Pendidikan Islam Peranan Dalam Pembangunan Ummah menjelaskan bahawa guru merupakan ejen kepada keberkesanan pendidikan.
Walau sebaik manapun sistem pendidikan, maksud yang ingin disampaikan tidak akan mencapai matlamatnya sekiranya ejen yang menyampaikan tidak efektif. Kejayaan dan keberkesanan pendidikan adalah berhubung rapat dengan kesedaran para guru terhadap tanggungjawabnya, kelengkapan ilmunya dan keluhuran peribadinya. Paduan antara kemahiran keilmuan dengan keluhuran peribadi merupakan kriteria peribadi pendidik yang tidak boleh dipisahkan, sebaliknya boleh dijadikan contoh yang berkesan.

Oleh yang demikian, dapatlah dikatakan bahawa guru adalah orang yang bertanggungjawab membentuk tamadun manusia di dunia ini melalui penyebaran ilmu kepada masyarakat. Justeru, semua guru mestilah menyedari tanggungjawab mereka dan sentiasa menjaga nama baik sebagai pendidik dan pemimpin masyarakat dengan menjalankan segala tugas dan tanggungjawab secara ikhlas dan jujur. 

Sebagai usaha untuk memastikan guru-guru di negara ini dapat berperanan seperti yang disebutkan oleh kedua-dua pemikir Islam sebelum ini, pihak berkuasa khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia boleh menetapkan strategi tertentu untuk memartabatkan profesion keguruan. Misalnya pertama, memantapkan aspek pemilihan calon guru dan latihan yang diberikan. Kedua, memperkasakan profesion keguruan. Ketiga, memperbaiki persekitaran kerja guru; dan yang keempat, meningkatkan keyakinan dan rasa bangga para guru terhadap profesion keguruan itu. 

Dalam Islam, guru atau pendidik ialah murabbi, muallim, muaddib, mudarris alim atau ulama. Islam juga memberi penghormatan yang amat tinggi kepada guru. Mereka bukan saja berperanan untuk memberi kesedaran kepada diri sendiri, malahan juga untuk masyarakat tentang komitmen dan hubungan dengan hukum Allah SWT.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya yang takut kepada Allah antara hambanya ialah ahli-ahli ilmu." (Surah Faatir ayat 28) Firman-Nya lagi yang bermaksud: "Katakanlah, adakah sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu." (Surah al-Zumar ayat 9)

Selain itu, dalam ayat lain Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, apabila dikatakan kepada kamu berikanlah sedikit ruang dalam majlis, maka berikanlah ruang, nescaya Allah akan memperluaskan ruang untuk kamu. Allah mengangkat darjat orang yang dikurniakan ilmu kepada mereka dan (ingatlah) Allah itu Maha Mengetahui terhadap apa sahaja yang kamu kerjakan." (Surah al-Mujadalah ayat 11)

Semua firman Allah SWT ini jelas membuktikan bahawa Islam memberi penghormatan yang tinggi kepada ahli-ahli ilmu. Jadi, dengan ilmu yang ada pada guru atau pendidik mereka wajib menyampaikan ilmu kepada orang yang memerlukan. Melalui ilmu inilah dapat menimbulkan kesedaran manusia terhadap Allah SWT dan dapat membezakan antara kebenaran dengan kebatilan sekaligus melahirkan bangsa yang maju dalam segala aspek.

Semua guru atau pendidik perlu faham bahawa tugas menyampaikan ilmu adalah suatu amanah dari Allah SWT. Ia merupakan beban dan tanggungjawab yang cukup berat dalam membina peradaban manusia. Oleh sebab itu, para guru mestilah menjalankan tugas dengan hati-hati, ikhlas, jujur dan beramanah.

Sesungguhnya, amanah menyampaikan ilmu ini merupakan tanggungjawab yang akan dipersoalkan pada Hari Akhirat kelak. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Kamu semua pemimpin dan kamu semua dipertanggungjawabkan mengenai orang di bawah pimpinannya." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadis ini, kedudukan profesion keguruan dalam agama cukup jelas. Segala ilmu yang disampaikan oleh guru kepada pelajar dan kesan daripada penyampaian itu akan dipertanggungjawabkan pada Hari Akhirat kelak. Jika ilmu yang disampaikan oleh guru itu membawa kesan positif kepada para pelajar, maka ganjaran kebaikanlah yang akan diterima dan begitu juga sebaliknya.

Atas dasar tanggungjawab dan amanah ini, para guru tetap melaksanakan kewajipan mereka mendidik anak bangsa meskipun mereka terpaksa tempuhi satu cabaran demi satu cabaran yang datang bersilih ganti. Tanpa pengorbanan mereka, barangkali kita tidak berada pada kedudukan yang serba mewah dan senang sekarang. Justeru, guru perlu diberikan penghormatan yang tinggi biarlah selari dengan penghormatan yang diberikan oleh Islam.

Bagi guru-guru atau pendidik, mereka tidak pernah mengharapkan hadiah yang bertimbun-timbun setiap kali tibanya sambutan Hari Guru dan juga sama sekali tidak mengharapkan pujian daripada mana-mana pihak. Cuma para guru sangat berharap anak didik mereka dapat menjadi insan yang berilmu dan berguna, seterusnya dapat memenuhi keperluan tenaga kerja negara.

Sebenarnya semua guru mengerti bahawa usaha mendidik dan membangunkan seseorang insan itu bukannya tugas yang mudah.

Tanggungjawab dan peranan guru sama sekali tidak dapat dipertikaikan biarpun kadangkala mereka cuba dipersalahkan apabila berlakunya kes keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja. 

Demikianlah antara peranan guru pada ketika ini. Mereka bukan sahaja menjadi 'qudwah hasanah' (contoh terbaik) kepada masyarakat, bahkan peranan mereka lebih terbukti apabila negara kita hari ini berjaya melahirkan sumber tenaga manusia dalam pelbagai bidang. 

Kesimpulannya, guru adalah insan yang bertanggungjawab mendidik dan membentuk sahsiah pelajar. Meskipun disedari usaha mendidik dan membentuk sahsiah seseorang insan itu bukannya mudah, namun atas dasar amanah sebagai pendidik anak bangsa maka usaha tersebut tetap diteruskan. Segala cabaran dan rintangan terpaksa ditempuhi dengan tabah. 

Penulis Pensyarah di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 7:02 AM