Tajul.
Tajul.
Ridzuan Abdul Rahman

 

Kuala Lumpur: Penyanyi, Tajul Ariff, 26, hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, Negeri Sembilan,  semalam dipercayai bagi memberikan keterangan untuk membantu siasatan kes kemalangan maut membabitkan anak kepada Presiden Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (Irama), Ayob Abdul Majid iaitu Allahyarham Megat Muhammad Thaqief, 24, di Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) pada tengah malam 24 April lalu. 

Tajul yang juga adik kepada penyanyi, Allahyarham Achik Spin memuatnaik gambar-gambarnya di IPD berkenaan sambil meletakkan keterangan bertulis, "semoga dipermudahkan semua urusan Tajul. Dari hari pertama sampai hari ini tak pernah lepas tangan bantu siasatan".

Terdahulu, Harian Metro pada16 Mei lalu memaparkan luahan Ayob yang meminta kerjasama seorang artis lelaki terkenal supaya tampil memberikan kerjasama kepada polis untuk membantu menyelesaikan kes kemalangan itu. 

"Kehadirannya amat penting bagi memberikan fakta-fakta untuk melengkapkan siasatan kes kemalangan maut ini," katanya.  

Kemalangan itu meragut nyawa Megat Muhammad Thaqief yang menunggang motosikal berkuasa tinggi ketika kejadian. 

Ia berlaku apabila sebuah kereta dipandu seorang wanita berhenti mengejut dan mengubah laluan mengakibatkan Megat tidak sempat mengelak dan melanggar kereta terbabit.

Allahyarham mengalami kecederaan di kepala dan leher dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban dan disahkan meninggal dunia. 

Ayob berkata, menerusi perbualan dengan anak saudaranya (sepupu Megat), artis itu antara yang bersama Allahyarham menunggang motosikal sebelum kemalangan ini. 

Difahamkan, artis terbabit enggan memberi kerjasama kerana bimbang dipandang negatif berikutan terbabit dengan kejadian itu. 

Jenazah Megat Muhammad Thaqief kemudiannya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana. 

Sementara itu, cubaan Harian Metro menghubungi Tajul mendapatkan komennya tidak berjaya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 6:51 AM