DAIYAN akui lagu Penat berentak balada dan berkonsep cinta yang pertama dikeluarkannya.
DAIYAN akui lagu Penat berentak balada dan berkonsep cinta yang pertama dikeluarkannya.
Syafil Syazwan Jefri


"PENAT,". Itu jawapan ringkas penyanyi, pelakon dan pengacara, Daiyan Trisha saat ditanya mengenai perasannya pada ketika ini, melalui pelbagai ujian dalam situasi pandemik yang bukan saja 'menghentam' Malaysia, bahkan seluruh dunia.

Perkataan itu juga dituang dan dicambahkan menjadi satu lagu sekali gus digunakan sebagai judul untuk karya terbarunya yang dilancarkan pada Khamis lalu.

Menggambarkan Penat sebagai satu karya yang dekat di hatinya, Daiyan menterjemahkan kisah cintanya yang kecundang di tengah jalan dan bagaimana dia menghadapi perpisahan itu dalam situasi pandemik ini.

"Lagu ini ada aura yang istimewa buat saya secara peribadi. Karya ini saya hasilkan ketika kita semua menjalani fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

"Pada ketika itu, saya sedang melalui fasa emosi yang tidak berapa stabil kerana baharu saja putus cinta. Jadi, ia menjadi inspirasi utama dalam penghasilan karya terbaharu ini," katanya.

Menurutnya, ia bukanlah satu proses mudah di mana dia perlu melawan rasa luka dalam hatinya dan pada masa sama, perlu menjaga diri menempuh pandemik Covid-19 ini.

"Apa yang saya rasa bukannya letih atau sakit, tapi lebih kepada penat kerana putus cinta di kala pandemik ini adalah sesuatu yang lebih mendalam.

"Selain itu, saya juga menyentuh mengenai perasaan penat yang dialami oleh semua orang ketika ini, namun diterjemahkan oleh mereka dengan cara masing-masing.

"Jadi, karya ini umpama membalut semua perasaan itu dan saya sajikan dalam satu perkataan yang universal," katanya.

Daiyan juga berkata, proses penghasilan Penat bukanlah semudah yang disangka.

"Kalau kita bercerita mengenai proses teknikal, semuanya tidak terlalu sukar memandangkan ada pelbagai teknologi yang boleh diguna pakai.

"Namun, saya tak nafikan bahawa lagu ini adalah lagu yang paling sukar untuk saya hasilkan. Walaupun saya hanya mengambil masa selama satu jam untuk menulis, tapi sebenarnya saya berhenti banyak kali kerana menangis.

DAIYAN bersyukur rezekinya di platform digital masih lagi ada.
DAIYAN bersyukur rezekinya di platform digital masih lagi ada.

"Emosi yang ada melimpah ruah, sampaikan ada ketikanya sukar untuk saya mengawal emosi pada ketika itu.

"Namun, dari sudut positifnya saya juga lebih mudah menitiskan air mata sewaktu merakamkan video lirik lagu ini," katanya.

Berkongsi lagi mengenai karya yang diciptanya sendiri ini, Daiyan juga mengakui bahawa lagu Penat berentak balada dan berkonsepkan cinta pertama yang dikeluarkannya.

"Ini adalah lagu balada dan berkonsepkan cinta dalam bahasa Melayu pertama yang saya keluarkan. Sebelum ini, tak pernah lagi saya keluarkan lagu dengan konsep mengenai patah hati sebegini.

"Saya perasan bahawa genre dan konsep lagu sebegini ada tempat di hati pendengar tempatan, namun kali ini baharulah saya tergerak hati untuk menghasilkannya," katanya.

Selain berbicara mengenai buah tangan terbaharunya itu, Daiyan juga turut berkongsi sedikit pengalaman ketika dia menggalas tanggungjawab sebagai sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) baru-baru ini.

"Saya berpeluang menjadi sukarelawan selama enam minggu dan niat saya adalah untuk menghulurkan bantuan.

"Saya memulakan tugas saya sebagai sukarelawan ketika awal-awal PKP 3.0 baru-baru ini.

"Di rumah, saya menetap sendirian. Jadi, saya tiada sesiapa yang berisiko tinggal bersama dan saya gunakan peluang ini untuk membantu petugas barisan hadapan di PPV," katanya.

Pentingnya vaksin

Aktif menguar-uarkan mengenai pengambilan vaksin di beberapa platform media sosial, Daiyan kerap kali berkongsi mengenai kepentingan vaksin.

"Dari sebelum saya bertugas sebagai sukarelawan lagi, memang saya sering berkongsi informasi mengenai vaksin dan kepentingan vaksin.

"Vaksin adalah salah satu cara yang paling berkesan untuk kita keluar daripada permasalahan yang dialami sekarang ini dan juga untuk kita semua dapat keluar dari 'lockdown'.

"Mungkin masing-masing ada pendapat dan kepercayaan tersendiri. Tapi perlu diingat, setiap apa yang kita ingin lakukan sekarang, kebanyakannya ada syarat iaitu perlu divaksin," katanya.

Berkongsi mengenai aktiviti di rumah, Daiyan bersyukur kerana rezekinya di platform digital masih lagi ada.

"Walaupun tak dapat keluar, saya masih lagi bekerja di rumah untuk menghasilkan kandungan digital buat beberapa jenama yang bekerjasama dengan saya.

"Selain itu, saya juga hasilkan lagu-lagu baharu di samping merakamkan lagu 'cover' sebagai kandungan di platform media sosial saya," katanya.

Apapun, Daiyan tetap mengharapkan agar kehadiran single baharunya itu diterima baik oleh pendengar dan dapat menyentuh hati setiap orang yang mendengarkannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 6:10 AM