KEVIN  De Bruyne dan rakan sepasukan menjulang trofi EPL di Stadium Etihad. FOTO Reuters
KEVIN De Bruyne dan rakan sepasukan menjulang trofi EPL di Stadium Etihad. FOTO Reuters
AFP

Manchester, United Kingdom: Manchester City terus mengukuhkan reputasi mereka sebagai kelab bola sepak Inggeris terhebat selepas menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) kali keempat berturut-turut malam semalam.

Tiada pasukan mampu mendominasi liga tertinggi Inggeris sehebat pencapaian City yang dikendalikan Pep Guardiola.

GUARDIOLA puas selepas mempertahankan trofi EPL.
GUARDIOLA puas selepas mempertahankan trofi EPL.

Selain meraih enam gelaran liga, City turut menjuarai Piala Dunia Kelab dan juara Eropah buat kali pertama dalam sejarah sejak tujuh tahun lalu. Mereka juga menjulang dua Piala FA dan empat trofi Piala Liga.

Satu lagi koleksi Piala FA boleh ditambah pada 25 Mei apabila mereka muncul pilihan ketika menentang Manchester United di Wembley untuk musim kedua berturut-turut.

Dominasi ke atas United sangat manis terutamanya kepada generasi penyokong City yang dibayangi kehebatan lampau kelab tetangga mereka.

Musim lalu skuad Guardiola menjadi hanya kelab kedua menjuarai EPL, Liga Juara-Juara dan Piala FA dalam musim sama yang menyamai rekod United pada 1998/99.

Ia sebahagian daripada tujuh gelaran EPL dalam tempoh sembilan tahun United di bawah kendalian Alex Ferguson.

Dominasi Liverpool pada era 1970-an dan 1980-an termasuk 10 gelaran liga sepanjang 15 musim dan empat Piala Eropah.

Arsenal mengharungi musim liga 2003/04 tanpa kekalahan ketika Arsene Wenger menjadi pengurus dan dianggap pasukan terbaik Gunners sepanjang zaman.

Namun rekod City berbanding pencabar mereka mengatasi pencapaian United, Liverpool dan Arsenal apabila mereka tidak tewas 35 perlawanan dalam semua kejohanan menerusi permainan terbuka, rekod baharu di era EPL.

Kemenangan 3-1 ke atas West Ham yang mengesahkan kejuaraan milik mereka membolehkan City melepasi 90 mata untuk kali keempat dalam tujuh musim, catatan yang hanya mampu dilakukan United dua kali ketika era Ferguson di Old Trafford.

"Saya fikir memenangi EPL empat kali, tiada pasukan melakukannya sebelum ini. Jadi dengan melakukannya bermakna kami berada di atas sana," kata pemain tengah City Phil Foden merujuk kepada perdebatan kelab Inggeris terhebat.

Menurut Guardiola pula: "Pada awal musim, kami tak terfikir rekod ini. Tetapi pada Februari, Mac dan April, kami masih di sana (perebutan gelaran liga). Selepas itu, ia berlegar dalam kepala kami.

"Tiada pasukan melakukannya. Ini menunjukkan betapa sukar mencapai tahap itu. Liverpool pada 1980-an, Alex Ferguson bersama United pada 1990-an. Chelsea dengan (Roman) Abramovich dan Jose (Mourinho), Arsenal dikendalikan (Arsene) Wenger juga gagal melakukannya."

Guardiola yang berusia 53 tahun kini memenangi 15 trofi utama dalam lapan musim sebagai pengurus City. Dia mempunyai kontrak di Etihad sehingga 2025 dan membayangkan untuk terus kekal sekurang-kurangnya semusim lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 7:26 AM