FORMASI berbentuk hati oleh guru dan murid Sekolah Kebangsaan Simpang Rawa, Marang, Terengganu sempena Hari Guru tanda terima kasih dan penghargaan buat seluruh warga pendidik.
FORMASI berbentuk hati oleh guru dan murid Sekolah Kebangsaan Simpang Rawa, Marang, Terengganu sempena Hari Guru tanda terima kasih dan penghargaan buat seluruh warga pendidik.
Suliati Asri


CABARAN sebagai pendidik pastinya tidak semudah yang disangka. Tugas berat dan bebannya besar.

Namun, ia bukan penghalang sebaliknya sebagai pemangkin semangat untuk terus mencurah bakti kepada anak bangsa.

Kejayaan anak didik dalam kehidupan masing-masing juga adalah satu kepuasan buat insan bergelar pendidik atau guru.

Bagi guru bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Nusa Jaya, Johor, Bobby Chan Sze Ing, 45, guru adalah rakan, mentor dan pembentuk insan.

Menurutnya yang lebih mesra disapa Cikgu Bobby, profesion ini bukan sekadar mengajar sebaliknya memberi peluang kepadanya untuk belajar pelbagai perkara dari anak murid serta rakan-rakan guru.

"Sebagai guru ini, kita tidak hanya mengajar, tetapi sebenarnya kita juga belajar bukan saja dari rakan-rakan sesama guru, tetapi juga dari anak murid.

"Setiap tahun, pelajar silih berganti. Mereka datang dengan karakter tersendiri dan pergi meninggalkan kenangan terindah.

"Jadi, banyak sebenarnya yang kita boleh belajar dari kerjaya ini," katanya.

Sudah bergelar pendidik selama 23 tahun, Bobby akui kerjaya sebagai guru ini unik kerana memberikan pengalaman manis dan cabaran tersendiri kerana perlu berjumpa pelajar yang berbeza setiap tahun.

Menurutnya, menjadi pendidik ini mencabar, tetapi banyak pengalaman yang diperoleh kerana sebenarnya bukan sekadar mengajar, tapi belajar dari pelajar.

"Guru juga sentiasa membuatkan diri kekal muda kerana kita dekat dengan pelajar dan perlu memahami mereka. Kena menjiwai zaman mereka juga secara tidak langsung.

"Menjadi guru ini juga membolehkan saya berjumpa pelajar yang berbeza setiap tahun.

"Berbanding dengan bekerja di pejabat atau kerjaya lain yang memerlukan kita berurusan dengan orang sama sepanjang tempoh perkhidmatan. Itu yang saya seronok jadi guru," katanya.

Cabaran sebagai guru ini dari pelbagai perspektif, namun mengajar di era digital ini juga memerlukan kekuatan mental dan fizikal.

Kata Bobby, dari segi pembelajaran, pelajar sekarang berbeza kerana mereka adalah dari generasi yang membesar dengan teknologi.

"Pemikiran pelajar terutama konsentrasi sekarang semakin kurang berbanding pelajar dahulu, sekali gus memerlukan pengajaran yang pelbagai bentuk.

"Sebagai contoh, pembelajaran yang memerlukan banyak visual (dan juga dalam bentuk didik hibur) bagi merangsang untuk mengambil bahagian dalam kelas," katanya.

Bagi guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Rini, Johor, Victoria Subramaniam, 43, pula, pendidikan bukan satu bidang yang statik sebaliknya ia akan sentiasa berubah mengikut peredaran semasa.

Justeru, selain bebanan tugas, pendidik perlu sentiasa menerima perubahan.

Sebagai manusia biasa, Victoria juga pernah berasa seperti tidak mampu lagi menggalas amanah dalam mendidik anak bangsa.

Namun, disebabkan sudah menganggap murid-muridnya sebagai anak sendiri dan sokongan suami dan keluarga yang sentiasa mengiringi hari-hari sukar, Victoria masih teguh berdiri menjadi pendidik.

Selain itu, kejayaan yang dikecapi anak-anak murid terdahulu juga menjadi pemangkin semangat bukan saja buat Victoria, tetapi seluruh warga pendidik.

"Dulu pernah saya selalu berpesan kepada seorang murid peralihan yang lemah dalam pelajaran supaya belajar bersungguh-sungguh untuk berjaya. Saya juga sentiasa memberinya motivasi.

"Selepas berjaya mendapatkan diploma, dia datang ke rumah, memeluk saya dan berterima kasih kerana disebabkan pesanan itu dia berjaya mendapatkan diploma selain kini menjalankan perniagaan sendiri.

"Itu momen indah yang tidak akan saya dapat lupakan," katanya.

Sudah lebih 20 tahun menjadi pendidik, bagi Victoria cabaran guru zaman sekarang tidak hanya kepada perubahan sistem pendidikan, tetapi juga ibu bapa pelajar itu sendiri.

Katanya, berbanding ibu bapa dahulu yang memberi pengharapan dan mempercayai guru, kini mereka mahu anak-anak memperoleh pelbagai ilmu dan kemahiran dalam satu masa.

"Ibu bapa mahu anak menceburi pelbagai bidang yang bersesuaian dengan peredaran zaman.

"Hal ini sangat baik, namun sebenarnya ia memberi tekanan kepada murid kerana perlu mengikuti pelbagai kelas tambahan lepas habis sesi persekolahan, sekali gus membuatkan mereka tidak fokus pembelajaran di sekolah," katanya.

BOBBY (kiri) bergambar bersama rakan-rakan yang sama-sama mencurah bakti sebagai pendidik untuk anak bangsa.
BOBBY (kiri) bergambar bersama rakan-rakan yang sama-sama mencurah bakti sebagai pendidik untuk anak bangsa.

Disebabkan itu kata Victoria, guru perlu menggabungjalinkan ko-akademik dan pembelajaran dalam kelas supaya murid dapat memberi tumpuan.

"Jika guru itu dapat 'menggabungjalinkan' apa yang dipelajari pelajar di dalam dan luar kelas, ia akan melahirkan pelajar yang berjaya bukan saja dalam bidang akademik, tetapi juga bidang lain terutama kreatif dan inovatif serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)," katanya yang mengajar subjek Matematik, Rekabentuk dan Teknologi (RBT) serta Pendidikan Moral.

"Keseronokan menjadi guru adalah apabila murid dapat terima sebaik mungkin apa yang disampaikan," kata guru di SMK Tuanku Abdul Rahman, Gemas, Negeri Sembilan ini, Nurain Tanzizi, 32.

Menjadi pendidik di zaman teknologi ini sangat mencabar kerana perkembangan murid adalah sering teknologi terkini.

Hal ini kata Nurain, menuntut guru untuk turut sama sentiasa mengikuti 'trending' semasa bagi menarik minat murid dalam pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc).

"Bukan itu saja, guru juga perlu banyak bersabar melayan kerenah murid sekarang yang berpaksikan kepada media sosial.

"Oleh itu, sebagai guru saya kena pandai 'tackle' pelajar dan lihat 'mood' mereka supaya tidak bosan dalam kelas," katanya.

Bagi Norain, sambutan Hari Guru cukup bermakna dan antara momen indah buatnya iaitu ucapan terima kasih dan Selamat Hari Guru dari pelajar.

"Bagi saya hadiah bukan keutamaan sebaliknya ucapan itu sudah cukup memadai. Tanda pelajar ingat saya sebagai guru.

"Namun, apa yang paling membahagiakan adalah dapat merealisasikan impian ayah dan ibu," katanya yang memilih guru sebagai kerjaya atas saranan ibu bapanya terutama arwah ayah yang ingin melihat anak jadi cikgu.

Biarpun baru tiga tahun menjadi guru, namun bagi Nurain banyak pengalaman dan momen indah tercipta.

"Perjalanan saya dalam kerjaya ini masih jauh, tetapi saya anggap setiap hari adalah proses untuk belajar.

"Sebagai guru bukan saja kita mengajar, tetapi kita juga perlu belajar," katanya yang mengajar subjek RBT dan Pendidikan Jasmani.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 7:02 AM