MAZIAN mampu mengendalikan bot komersial atau bot pelancongan.
MAZIAN mampu mengendalikan bot komersial atau bot pelancongan.
Nurul Husna Mahmud


Mengenali susuk kecil molek, Mazian Suhadi, 36, ini tidak disangka dia memiliki lesen mengendali bot atau kapal besar.

Ibu kepada dua cahaya mata itu juga mengakui dia antara satu-satunya pengendali bot wanita yang memiliki lesen selain mampu membawa pelancong menyusuri Sungai Perak.

Isteri kepada operator River Cruise Teluk Intan iaitu Mohd Sahril Mustafa berkata, suaminya adalah individu yang berjaya meyakinkan dirinya mampu mengendalikan bot pelancongan dengan baik.

Kata Mazian, suami juga memujuknya supaya mengikuti kursus pengendalian bot untuk digunakan ketika memerlukan.

"Kalau diri sendiri, saya langsung tidak terfikir untuk mengambil lesen bot kerana tidak yakin dapat kendalikan pengangkutan itu.

"Tetapi, suami saya ini jenis positif dan sabar memujuk saya kendalikan dulu bot kecil untuk dua atau tiga penumpang.

"Ketika itu tidak bawa orang cuma untuk diri sendiri atau menemani suami serta anak memancing.

"Suami lihat saya boleh kendalikan dengan baik, dia suruh saya cuba bot penumpang dan minta saya sertai kursus 'Open Sea' atau pengendalian bot di laut terbuka," katanya.

Apabila suaminya mengambil lesen pada 2021, dia turut mengikuti kursus terbabit dan menjadi satu-satunya peserta wanita dalam kelas itu.

"Tidak dinafikan ada rasa gugup dan segan terutama apabila saya satu-satunya peserta wanita.

MAZIAN bersama pelancong.
MAZIAN bersama pelancong.

"Pengajar banyak beri fokus kepada saya, malah jika ada pembentangan saya dipanggil atau disoal.

"Ini secara tidak langsung membuatkan saya lebih fokus dan saya bersyukur suami banyak membantu mengharungi tempoh kursus selama tiga hari dua malam itu," katanya.

Dengan lesen itu, dia boleh mengendalikan bot pelancongan di laut dan kursus itu juga meningkatkan keyakinan pelancong atau pelanggan menggunakan khidmatnya.

Kata Mazian, dia yang sebelum ini guru berkata, profesion sebagai pengendali bot dan pemandu pelancongan banyak mengubah sikap dan perilaku supaya lebih berani dan yakin.

"Ketika saya menjadi guru dan mengajar di sekolah swasta, ruang lingkup saya hanya di sekolah dan pelajar.

"Tetapi, bidang pelancongan ini banyak mengubah diri saya menjadi lebih berani dan yakin.

"Saya bergaul dan berjumpa ramai orang dan perlu bentuk personaliti mudah didekati.

"Ini membuatkan saya lebih bersyukur dan pengorbanan dengan meninggalkan profesion perguruan dulu demi membantu suami adalah pilihan yang diperlukan ketika itu," katanya.

MAZIAN dan suami juga gemar melancong.
MAZIAN dan suami juga gemar melancong.

Dia masih ingat penumpang pertama dibawa menaiki bot ialah sembilan penumpang membabitkan satu keluarga dari Kuala Lumpur.

"Saya masih ingat pertama kali saya bawa ialah satu keluarga dari Kuala Lumpur yang bercuti di Teluk Intan.

"Dia letakkan keyakinan pada saya dan ahli keluarganya juga sangat 'sporting' dan menikmati perjalanan sepanjang bersama saya.

"Saya rasa itu yang membuatkan saya lebih tenang dan teruja dengan mereka sambil mengendalikan bot," katanya.

Mengenai reaksi keluarga atau kenalan mengenai pilihan kerjaya untuk bekerja sendiri, kata Mazian, tidak dinafikan dia berdepan kritikan atas tindakan itu.

"Sebenarnya saya berhenti dulu baru maklum kepada keluarga dan orang tua iaitu ibu. Ibu saya memahami dengan pilihan itu dan memberi restu.

"Maklumlah keputusan yang saya ambil ini juga atas nasihat suami yang mahu saya bantu bangunkan perniagaan itu.

"Suami juga beri jaminan apa yang saya beri secara bulanan kepada ibu tetap tidak berkurang apabila saya bantu dia sepenuhnya nanti.

KENANGAN Mazian (berdiri tiga dari kiri) ketika menjadi guru.
KENANGAN Mazian (berdiri tiga dari kiri) ketika menjadi guru.

"Dalam masa sama, saya terima banyak kritikan orang luar, contoh saudara jauh dan kawan. Mereka mengatakan tindakan saya itu satu kesilapan apabila meninggalkan gaji tetap setiap bulan.

"Saya letakkan sepenuh tawakal saya kepada Allah SWT dan Alhamdulillah pilihan dibuat itu saya lihat banyak terima kebaikan terutama apabila memilih untuk menjalankan perniagaan dengan suami," katanya.

Kejayaan hari ini kata Mazian, ia adalah hasil kerja keras dan pengorbanan suami yang mengambil risiko besar demi memulakan perniagaan.

"Suami antara model rujukan kerana dia mengambil satu langkah berani termasuk menghabiskan simpanan untuk beli bot ketika itu orang lain sedang bergelut dalam fasa sukar (ketika pasca Covid).

"Saya juga mengikut jejak langkah suami apabila berhenti pada 2021 untuk masuk ke bidang pelancongan yang saya tidak pernah ceburi selama ini.

"Kepayahan dan kerja keras termasuklah berusaha meningkatkan kemahiran diri menerusi mengambil kursus pengendalian bot, membuahkan hasil," katanya.

Ketika ini dahulunya hanya ada satu bot, kini Mazian dan suami memiliki lima bot yang mampu menampung sehingga 200 penumpang sehari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 7:02 AM