SEARCH teruja akan mengadakan Konsert Search Symphonic Live in Kuala Lumpur pada 21 September depan.
SEARCH teruja akan mengadakan Konsert Search Symphonic Live in Kuala Lumpur pada 21 September depan.
Syafil Syazwan Jefri


MELAYARI usia hampir lima dekad dalam industri tidak pernah menenggelamkan nama band rock legenda seperti Search. Bahkan, nama mereka terus kukuh walaupun dihambat dengan pelbagai kisah pertelingkahan dan keluar masuk anggota.

Terbaharu, Search yang dianggotai Datuk Amy, Man Kidal serta Hillary Ang bakal menggegarkan pentas Mega Star Arena Kuala Lumpur menerusi acara Konsert Search Symphonic Live in Kuala Lumpur pada 21 September depan.

Vokalisnya, Amy berkata, Konsert Search Symphonic Live in Kuala Lumpur bakal membawa kelainan berbanding kebiasaan buat peminat setia mereka.

"Kami menjangkakan sesuatu yang berbeza kali ini kerana konsep yang akan kami tampilkan adalah orkestra. Jadi, akan ada beberapa lagu yang belum pernah kami mainkan, bakal dipersembahkan," katanya.

Menurutnya, ini umpama satu pelayaran baharu buat 'bahtera' Search yang melalui pelbagai gelombang sepanjang perjalanan karier muzik mereka berlangsung.

"Ini satu pelayaran baharu yang belum pernah kami lakukan. Boleh dikatakan ini sebagai satu perkara yang kami sendiri 'berani' untuk bawakan. Saya berdoa supaya ini menjadi satu 'statement' (kenyataan) baharu buat kita semua.

"Kami nak berikan yang terbaik supaya peminat dapat melayari pelayaran baharu bersama kami sepanjang durasi dua jam konsert ini berlangsung," katanya.

Tambah Amy, mereka juga memilih lagu terbaik untuk diperdengarkan di acara itu walaupun ia bukan satu tugasan mudah dan akan turut merakamkan konsert ini dalam bentuk audio dan visual.

"Kalau dari sudut pemilihan lagu, sebenarnya agak sukar untuk membuat keputusan kerana tidak semua peminat ada senarai lagu yang sama untuk didengar. Tapi, kami pilih yang terbaik untuk konsert kali ini dan kami ingin jadikannya sesuatu yang diingati.

"Konsert ini akan turut dirakamkan. Mungkin, kami akan keluarkan dalam bentuk vinil dahulu. Yang pasti akan ada rakaman audio dan visual juga," katanya.

Sementara itu, pemain bass Search iaitu Nasir Daud berkata, ini menjadi cabaran besar buat mereka memandangkan bakal berkolaborasi dengan satu set lengkap pemuzik orkestra di konsert anjuran Persatuan Rekreasi Global Malaysia (PRGM) itu.

"Apabila PGRM tawarkan untuk adakan konsert ini, kami fikir ini mungkin satu lagi konsert seperti mana kebiasaan. Namun, apabila diberitahu bahawa konsepnya adalah orkestra dan berskala besar, kami ambil masa beberapa hari untuk fikirkan.

"Ini cabaran baharu dan bukan sekadar 'plug and play'. Ini satu disiplin yang tegar (rigid) membabitkan orang profesional yang ramai bersama kami.

"Apa pun, yang boleh saya gambarkan persembahan kali ini adalah gabungan rock dan klasik. Namun, tetap akan mengekalkan 'repertoire' Search itu sendiri," katanya.

Walaupun sudah bergelar band legenda, rasa gemuruh masih dapat dirasakan oleh mereka.

"Sememangnya ini adalah satu persembahan yang belum pernah diadakan oleh kami sebelum ini. Mohon jangan dibandingkan dengan konsert 'unplugged' kami sebelum ini yang menggunakan beberapa pemuzik orkestra kerana ini skalanya lebih besar.

"Saya dimaklumkan, jumlah keseluruhan pemuzik orkestra adalah kira-kira 30 orang. Jadi, ini adalah satu kumpulan orkestra yang lengkap dan proses persembahannya juga bukan sesuatu yang mudah.

"Ada cabaran dan debaran buat kami untuk lunaskan tanggungjawab besar ini," katanya.

Yang pasti, Nasir dan rakan-rakan seperjuangannya ingin menyajikan persembahan bertenaga dan berkualiti, sekali gus menambah nilai band itu sendiri sebagai institusi.

"Kami mahu penonton fokus kepada lagu dan persembahan. Biar mereka (penonton) yang terdiri daripada pelbagai generasi dapat menilai kualiti persembahan itu sendiri.

"Secara tidak langsung, kami berharap konsert ini dapat mengangkat nilai Search sebagai satu institusi pemuzik ke satu tempat lebih tinggi.

"Seni itu, semakin lama ia akan menjadi semakin halus. Seterusnya membawa kepada pengakhiran yang cantik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 6:30 AM