JACKSON mahu menikmati hidup normal.
JACKSON mahu menikmati hidup normal.
Syafil Syazwan Jefri


ANNYEONGHASEYO! Tahun ini bakal menjadi ulang tahun sedekad pembabitan bintang K-Pop, Jackson Wang dalam dunia hiburan. Pejam celik, jauh sudah perjalanan jejaka kelahiran Hong Kong itu.

Bagaimanapun, Jackson, 30, memaklumkan dia mungkin tidak berada dalam lapangan seni lagi pada 10 tahun akan datang. Hal itu dikongsikan menerusi sebuah wawancara program TVB, Star Trail baru-baru ini.

Mengimbau semula perjalanan seninya, Jackson mengakui dia keciciran terlalu banyak perkara untuk menjalani hidup normal. Seluruh hidupnya dalam tempoh sedekad ini dikorbankan dalam kerjayanya.

Paling dia sesali adalah mengorbankan pelbagai pengalaman hidup sebagaimana rakan-rakannya yang lain miliki. Ia termasuk menjalani gaya hidup yang biasa.

"Saya rasa seperti berada dalam sebuah mesin sepanjang sembilan ke 10 tahun ini. Ia sebuah larian jarak jauh yang sangat panjang. Saya terus berlari dan tidak menikmati atau merasai persekitaran saya.

"Saya tidak melihat ke bawah atau membelek kembali sama ada saya tercicir apa-apa. Adakah saya melintasi seseorang? Saya terlepas banyak hal kerana apa yang saya buat adalah terus berlari," katanya.

Sudah menginjak usia sekarang membuatkan Jackson terfikir untuk jalani kehidupan yang lebih tenang. Ia termasuk niat untuk tinggalkan kerjaya seni juga.

"Sekarang sudah umur 30 tahun, saya cuma mahu perlahankan diri dan lebih menikmati masa ini. Barangkali saya tidak lagi akan berada dalam dunia hiburan pada 10 tahun mendatang.

"Ini adalah pilihan hidup yang saya mahukan sendiri. Saya mahu 'hidup'. Saya mahu ciptanya, yang mana di situ kekuatan dicari dan bukan sekadar hidup dalam lampu limpah," katanya.

Jackson juga tidak melihat dia akan sanggup memiliki kedua-duanya apabila tiba pada satu tahap nanti. Dia enggan terima kalau diberikan peluang memiliki populariti dan hidup normal.

Jackson diperkenalkan sebagai ahli Got7 bersama anggota lain pada 2014. Anggota lain itu termasuk JayB, Mark, Jinyoung, Youngjae, BamBam, dan Yugyeom. Mereka popular dengan lagu hit termasuk If You Do, Just Right dan Hard Carry.

Bagaimanapun, kumpulan terbabit meninggalkan agensi JYP Entertainment pada 2021. Mereka masih terus keluarkan muzik secara berkumpulan selepas itu dan kali terakhir bergabung atas pentas pada 2022.

Kemudian, mereka fokuskan kepada kerjaya solo masing-masing dan peminat masih menantikan 'comeback' akan datang Got7 sebagai satu kumpulan.

Sebelum menceburi hiburan dan bergelar bintang, Jackson adalah atlet lawan pedang negaranya. Dia juga dilaporkan menolak untuk bertanding di Olimpik sebaliknya memasuki Stanford University sebagai pelatih K-Pop.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 6:20 AM