TERUS terang akui peminat di Malaysia adalah antara kesukaannya.
TERUS terang akui peminat di Malaysia adalah antara kesukaannya.
Georgie Joseph


Semakin digilai seluruh dunia, penulis lagu dan penyanyi Elijah Woods sentiasa mengutamakan keseimbangan antara memuaskan hati orang dan mengikut kemahuan diri sendiri. Keseimbangan itu cukup penting supaya dia kekal teguh dengan identitinya.

Woods, 30, yang berpangkalan di Toronto, Kanada pun sebenarnya tidak menjangka muziknya naik mendadak ke tahap sekarang. Kini mendapat jutaan penstriman di seluruh pelosok dunia, masih membuat dia seperti berada di awang-awangan.

Apa pun, dia akan berusaha membawa perjuangannya ke tahap di mana semua pihak mencapai kepuasan. Secara peribadinya, dia menganggap muzik adalah bahagian terpenting dalam mengejar ketenangan hidup.

"Kalau biarkan pendapat orang atau angka penstriman itu menguasai apa yang saya lakukan sebagai artis, ada garis pengimbang yang kena jaga. Antara hormat pangkalan peminat dan mengejar kemahuan diri.

"Tujuan saya bikin muzik adalah kerana ia terapi buat saya. Saya suka menulis lagu dan pernah berjenaka dengan pengurus, di mana saya lakukan semua ini demi kepuasan diri sendiri saja.

"Saya cuma bertuah apabila orang sebenarnya sukakan muzik saya. Hakikat ada orang menyukainya dan ia berikan nafas baharu buat saya. Saya dapat berinteraksi dan ketahui betapa lagu saya tinggalkan kesan kepada mereka," katanya.

Penyanyi yang meledak dengan lagu 24/7 ini mengakui, tiada ramuan istimewa pun dalam proses kreatifnya. Dia cuma terjemah apa yang dilalui dan memberi kesan dalam kehidupan harian kepada cerita menerusi lagunya.

Justeru, hatinya amat tersentuh apabila muziknya itu mencetus impak dalam kehidupan orang lain. Terutama, tatkala mendengar sendiri luahan peminat betapa lagu-lagunya berjaya mengetuk pintu hati mereka.

"Mendapat tahu cerita orang ada berhubung kait dengan cerita lagu saya adalah satu perasaan cukup istimewa. Angka jutaan peminat yang diraih di TikTok misalnya, memang di luar rasa percaya.

"Semakin saya berkembang, saya rasa adalah satu keperluan untuk tidak menghampakan orang lain. Saya tidak mahu mereka menghilang pada satu tahap apabila sudah tidak seronok dengan karya saya.

"Saya sangat suka apabila lagu saya berbunyi seperti perbualan biasa. Bukan terlalu mendalam dan ada metafora. Saya sebolehnya ingin menyuntik elemen realistik kehidupan manusia dalam karya saya," katanya.

Dengan kesibukan mengadakan siri jelajah sekarang, Woods menyifatkan kepenatan hal yang perlu ditangani dengan berhemah. Dia perlu sentiasa berfikir positif dan menasihati diri sendiri supaya terus bersyukur.

WOODS syukuri rezeki namanya kian meledak seluruh dunia sekarang.
WOODS syukuri rezeki namanya kian meledak seluruh dunia sekarang.

Menurutnya, bukan dia seorang saja sebaliknya ramai lagi dalam dunia ini berdepan cabaran hidup tersendiri. Kerana itu, dia ingin menjaga dengan rapi rezeki besarnya dan penuh makna yang diraih pada ketika ini.

"Ada kala, saya rasa seperti nomad apabila banyak habiskan masa menaiki kapal terbang. Kepenatan itu pasti ada, tetapi satu hal yang sentiasa saya pegang teguh adalah betapa bertuahnya saya dapat melakukan ini.

"Terlalu ramai orang lain cuba bertahan kuat dalam kehidupan mereka. Sekarang masa tepat untuk saya dapat menjalin ikatan dengan pendengar menerusi muzik dan hendak lakukan yang terbaik bagi menyokong perjuangan itu," katanya.

Cukup menarik, Woods berkata, dia tidak suka serabutkan dirinya demi kejar masa menghasilkan karya sebanyak boleh. Dia lebih suka perjalanan proses kreatifnya tersusun dan meletakkan fokus satu persatu.

"Saya tidak akan menulis lagu ketika perjalanan mengadakan persembahan. Kalau saya adakan siri jelajah, saya fokus itu saja. Bila pulang ke rumah, saya tenangkan diri kembali dan baru fikir untuk menulis lagu semula.

"Saya tak rasa terinspirasi ketika sibuk dengan banyak hal harian, dapatkan tidur cukup, kejar penerbangan dan lain-lain. Saya cuma tulis idea kecil berdasarkan pemerhatian di telefon bimbit, tapi takkan jadi lagu penuh sehingga saya pulang ke rumah," katanya.

Dalam pada itu, Woods tidak berselindung bahawa Malaysia adalah negara yang memang di kedudukan tertinggi kesukaannya. Dia tahu bagaimana kegilaan peminat di sini menerusi jumlah penstriman dan mesej diterima di media sosial.

Itu juga menjadi antara alasan wajib untuknya berkunjung dan menyantuni peminat Malaysia buat pertama kali baru-baru ini. Menerusi siri jelajah itu juga, dia dapat rasakan kebersamaan dengan peminat daripada sisi dunia yang berbeza.

"Pasaran di sini (Malaysia) sangat menakjubkan untuk saya. Ia berikutan, saya tak percaya ada orang di sebelah lain dalam dunia mendengar muzik saya kerana saya cuma pembikin lagu dalam bilik di Toronto, Kanada.

"Hakikatnya, ia berjaya diterjemah sangat jauh dari tempat saya membesar dan amat menyeronokkan buat saya. Secara amnya, saya sangat teruja berkunjung ke Asia. Malah, Malaysia pun sebenarnya penstriman terbaik untuk pasaran muzik saya.

"Peminat Malaysia sangat luar biasa. Mereka juga amat menyenangkan dan begitu meminati muzik. Memang sangat teruja dapat dekati mereka, apalagi rindukan ikatan begitu yang pudar sebelum ini dan kini dapat dirasai semula selepas kembali adakan siri jelajah," katanya.

Terbaharu, Woods juga melancarkan lagu berjudul 2 thousand 10 yang menjadi titik tolak terkini dalam rencana seninya. Selama ini, dia cuma menulis lagu sendirian dan sepenuhnya mengikut idea di dalam kepalanya.

Namun, menerusi lagu itu, dia dapat membuka laras berkaryanya dengan kerjasama daripada komposer Andrew Goldstein dan Jack LaFrantz. Katanya, dia enggan lagu itu kedengaran seperti sebuah karya musim panas yang 'klise'.

"Ia sebuah lagu musim panas yang menyeronokkan. Saya berpeluang bekerja dengan beberapa komposer dan penulis lagu kesukaan saya selama beberapa tahun kebelakangan ini. Lagu ini paling menonjol untuk kami.

"Ini kali pertama saya benar-benar bekerjasama dengan pengkarya lain. Memang rasa seperti berada dalam zon baharu. Saya sedaya upaya meneroka lagu ini dan kemungkinan sehebat mana ia boleh pergi.

"Ternyata lagu ini sangat bagus. Bukan menyimpang pun daripada hala tuju muzik saya. Namun, ia adalah evolusi baharu buat saya kerana saya sudah berulang kali perdengarkan ia kepada peminat dan sambutannya sangat baik," katanya.

Baru-baru ini, Woods menjayakan showcase Ilu 24/7, 365 Tour anjuran Live Nation Malaysia yang kali pertama membawanya datang ke sini berlangsung di The Bee, Publika, Kuala Lumpur. Tiketnya habis dijual dengan kehadiran lebih 500 peminat.

Lagu dipersembahkan Woods termasuk Past Life, Make Believe, Lights, First Night, 2010, Fingers Crossed, Easier Said, Losing a Friend, Second Guessing, Wildfire, Almost Happy x Cruel Summer, Where We're Going, Last Girl, If You Want Love, Everything Everywhere, Always, ilu, Take Care, dan 24/7, 365.

Selain itu, Woods turut membuat persembahan khas tanpa dirancang menyanyikan lagu Fix You yang dipopularkan Coldplay.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 7:01 AM