Kasihnya kepada UKM bukan sekadar kata-kata, sebaliknya ditunjukkan dengan tindakan yang berhemah. FOTO Arkib NSTP
Kasihnya kepada UKM bukan sekadar kata-kata, sebaliknya ditunjukkan dengan tindakan yang berhemah. FOTO Arkib NSTP
Abd Razak Hussin

Setiap kali diadakan majlis besar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkumandanglah lagu Ilmu, Mutu dan Budi di samping lagu Varsiti Kita. Khususnya di Majlis Konvokesyen, lagu-lagu itu menjadi keharusan untuk dikumandang atau dimainkan.

Demikian juga lagu Bertekad Cemerlang adalah identiti Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang genap berusia 30 tahun pada tahun ini. Di sebalik keindahan melodi lagu-lagu itu, ramai tidak menyedari lirik yang menjadikan lagu-lagu itu bermakna dan 'hidup' adalah hasil tulisan seorang insan sederhana yang tidak gemar menonjol diri. Beliau ialah Salleh Yusof, mantan Timbalan Pendaftar Hal Ehwal Pelajar (HEP) UKM yang lebih senang orang memanggilnya Pak Leh.

Lagu universiti adalah suatu advokasi, penceritaan dan imbauan terhadap latar, sejarah dan iltizamnya untuk melahirkan siswazah yang didambakan negara. Lagu Ilmu, Mutu dan Budi gubahan Zubir Ali pada pertengahan 1980-an memaparkan pembentukan watak pelajar yang punya harga diri, merangkul ilmu beraras tinggi, kepedulian yang dalam dan menggarap budaya membalas budi sebagai jati diri.

Lagu Bertekad Cemerlang sentuhan komposer Abdul Jamal Abdul Hamid memaparkan harapan masyarakat agar UMS teguh sebagai jambatan yang menyatukan seluruh rakyat.

Saya mengenali Pak Leh pada 1980 apabila saya mendaftar sebagai pelajar UKM. Hubungan kami menjadi akrab apabila saya dipilih menganggotai Majlis Perwakilan Pelajar dan Setiausaha Agung PMUKM Sesi 1983/84. Sejak itulah saya menjejaki dan mempelajari keterbukaan, ketulusan dan kebijaksanaannya dalam mengurus pelajar yang tentunya merupakan golongan muda yang berilmu pengetahuan.

Bagi beliau, fitrah anak muda adalah kaya dengan idealism, tidak suka dikongkong, gemar mengkritik dan sering terburu-buru apabila menginginkan sesuatu. Pendekatan beliau barangkali berbeza dengan pegawai lain. Beliau lebih suka mendengar terlebih dahulu, berikan ruang pelajar (organisasi pelajar) berhujah dan sediakan kesempatan pelajar untuk mengesyor apa yang mereka ingin lakukan.

Setelah mendengar segala hujah dan syor, barulah beliau memberikan pandangannya sebagai pegawai yang mewakili kepentingan universiti. Beliau sedar, tidak mudah meyakinkan anak muda, pelajar universiti yang turut dikesan banyak kecurigaan terhadap pihak berkuasa. Namun, dengan penghujahan yang berasas, bernas serta pembujukan bagai seorang ayah, pelajar akur dengan keterbatasan dan realiti yang sedang dihadapi.

Bagi Pak Leh, pelajar adalah harta intelek negara. Pelajar melanggar peraturan universiti sesuatu yang telah dijangkakan. Namun baginya, lebih baik pelajar melakukan kesalahan di universiti kerana ada sistem dan pegawai yang boleh menegur dan memperbetulkannya.

Pernah juga Pak Leh menegur pegawainya yang secara sinis memperlekehkan ucapan dasar Presiden PMUKM yang dianggap hanya beretorika dan berdegar-degar. Pak Leh mengatakan, itulah idealism kepemimpinan anak muda. Kita harus bersyukur kerana generasi muda masih memiliki idealism. Katanya, malang bagi universiti, jika mahasiswanya sudah tiada idealism lagi. Yang penting baginya, bagaimana pegawai harus mempunyai kompetensi untuk membimbing dan mematangkan kedewasaan mereka secara alami bukan dengan mengindoktrinasi.

Dengan pendekatan dan perwatakan Pak Leh yang mesra, beliau disenangi pelajar UKM yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan ideologi. Justeru, beliau dikenali oleh seluruh pelajar era 1970-an, 1980-an dan 1990-an. Ke mana pun beliau pergi di dalam dan luar negara, ada sahaja alumni UKM yang menegurnya. Malah seringkali alumni yang membayar bil makanannya di restoran tanpa disedari.

Saya turut terinspirasi dengan keampuhan semangat terhadap perjuangan penubuhan UKM yang sering dibicarakannya. Sebagai aktivis pelajar Universiti Malaya sejak akhir 1960-an sehingga bergraduasi pada 1973 dalam bidang antropologi sosiologi, Pak Leh menyaksikan sendiri malah terlibat secara langsung dengan gelombang desakan penubuhan UKM. Justeru, setelah bekerja seketika di Dewan Bahasa dan Pustaka, pada tahun yang sama beliau memulakan kerjaya sebagai Pegawai Tadbir di UKM sehingga persaraannya pada September 1998.

Kasihnya kepada UKM bukan sekadar kata-kata, sebaliknya ditunjukkan dengan tindakan yang berhemah. Antara tindakan berdampak yang dilakukan Pak Leh ialah menulis surat dan menghantar 'dengan tangan' kepada pengurusan tertinggi Kereta Api Tanah Melayu pada 1995 untuk menamakan stesen komuter di Sungai Tangkas dengan Stesen UKM. Beliau juga dengan bersungguh-sungguh mengusahakan UKM perlu bertapak di Negeri Sembilan kerana Canselor UKM adalah Tuanku Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Inisiatifnya membuahkan hasil dan UKM berjaya memiliki sebidang tanah seluar 100 ekar di Kuala Pilah.

Demikianlah sekelumit catatan kenangan bersama Salleh Yusof yang disenangi semua orang. Seperti diungkapkan Won Tzy Yaa, alumni dan sahabat saya yang kini menetap di Singapura, Pak Leh lah yang membentuk perspektif kepemimpinannya yang lebih terbuka terhadap realiti kepelbagaian kaum, agama, budaya dan resam di Malaysia.

Setelah terlantar sakit selama tiga tahun, pada malam Nuzul Quran yang hening, hari Khamis malam Jumaat 17 Ramadan 1445 bersamaan 28 Mac 2024, Pak Leh dijemput pulang ke pangkuan Penciptanya dengan penuh kemuliaan. Pak Leh pergi meninggalkan nama yang harum sebagai tokoh pembina generasi muda yang tulus, terbuka dan berhikmah. Sosok yang bicaranya polos tetapi tulisannya mendalam menerap makna, akan terus dikenang dan disanjung ribuan alumni Universiti Kebangsaan Malaysia.

Penulis mantan Pendaftar UKM

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 7:02 AM