MK tidak menyebelahi mana-mana pihak, terpulang jika mereka percaya atau menolak vaksin.
MK tidak menyebelahi mana-mana pihak, terpulang jika mereka percaya atau menolak vaksin.
Georgie Joseph


PENYANYI hip hop popular, MK, 25, hormat keputusan setiap individu termasuk golongan anti vaksin berkenaan pengambilan vaksin Covid-19.

MK atau nama sebenarnya Muhammad Hairi Amri Hamdan berkata, dia tidak menyebelahi mana-mana pihak dan terpulang sekiranya mereka percaya atau menolak vaksin.

"Dalam hal ini, saya terbuka dan hormat pendapat masing-masing. Bagi saya, tidak perlu desak jika mereka tidak mahu dan saya juga tidak terlalu menyeru orang supaya mengambil vaksin.

"Namun, saya juga sudah mendaftar di MySejahtera untuk suntikan vaksin kerana percaya itulah langkah terbaik menangani Covid-19. Namun, saya masih belum dapat slot lagi untuk suntikan itu," katanya.

MK yang juga anggota kumpulan hip hop, K-Clique berkata, keputusan sama ada mendapatkan vaksin atau sebaliknya tidak perlu dipengaruhi mana-mana pihak.

"Masing-masing pasti ada pegangan mengenai pengambilan vaksin. Tidak perlu wujud unsur desakan sekiranya individu terbabit mungkin menolak untuk mendapatkannya," katanya.

MK berkongsi pendapatnya itu sewaktu sidang media maya lagu baharunya Veto baru-baru ini.

Dia turut bekerjasama dengan rakan baiknya Tuju, Loca B dan DJ Cza menerusi lagu terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 6:30 AM