ORANG ramai hadir bagi mendapatkan suntikan vaksin Astra Zaneca di Pusat Pemberian Vaksin di PWTC, Kuala Lumpur.
ORANG ramai hadir bagi mendapatkan suntikan vaksin Astra Zaneca di Pusat Pemberian Vaksin di PWTC, Kuala Lumpur.

PENINGKATAN secara mendadak statistik kes baharu wabak Covid-19 dan bilangan kematian sewajarnya menginsafkan kita betapa ancaman wabak ini semakin serius dan sudah memasuki fasa yang sangat kritikal. Oleh itu, sudah tiba masanya untuk pihak kerajaan mempertimbangkan syor dan cadangan mewajibkan rakyat mengambil vaksin demi melindungi diri dan keluarga, sekali gus mencapai sasaran imuniti kelompok iaitu 80 peratus penduduk Malaysia disuntik vaksin sebelum akhir tahun.

Ketetapan mewajibkan pengambilan vaksin ini dilihat sangat signifikan dan perlu kerana keadaan dilihat semakin kritikal dan membimbangkan. Kita tidak boleh lagi sekadar menggalak atau memujuk orang ramai untuk daftar sebaliknya perlu memasuki fasa untuk 'memaksa' anggota masyarakat mendapatkan vaksin.

Ini ditambah dengan senario di mana ramai yang tolak janji temu atau tidak hadir untuk mengambil suntikan. Kejadian ini berlaku di seluruh negara dengan pelbagai alasan tersendiri.

Tindakan tidak bertanggungjawab seperti ini bukan saja mengganggu pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) serta sasaran imuniti kelompok, ia turut memberikan pelbagai masalah kepada petugas. Misalnya, petugas terpaksa mencari pengganti pada saat akhir untuk disuntik serta boleh menyumbang kepada pembaziran dos kerana sebotol vaksin mempunyai jangka luput dan perlu diguna sebaik sahaja dikeluarkan dari tempat simpanan. Difahamkan, satu botol vaksin boleh digunakan oleh enam jarum suntikan sahaja dan menyebabkan ia perlu dihabiskan dengan segera.

Apa yang lebih menyedihkan lagi ialah ada yang dikatakan tidak hadir atau menolak kerana terpengaruh dengan berita palsu yang disebarkan oleh pelbagai pihak yang tidak bertanggungjawab terutamanya golongan antivaksin. Misalnya, ramai juga yang dikatakan takut dan berubah hati setelah terpengaruh dengan 'Mak Teh'. Ramai warga emas dilaporkan enggan mengambil vaksin kerana bimbang akan mengalami nasib seperti jururawat dan petugas kesihatan yang didakwa meninggal dunia selepas menerima suntikan dos kedua seperti disebarkan oleh wanita terbabit.

Di samping itu, bilangan rakyat kita yang mendaftar secara sukarela berbanding populasi keseluruhan yang layak juga masih tidak begitu memberangsangkan. Sehingga 27 Mei lalu, hanya 46 peratus daripada 24.3 juta populasi Malaysia berusia 18 tahun ke atas telah mendaftar untuk mendapatkan vaksin.

Walaupun pelbagai kempen telah dilaksanakan, masih ramai yang tidak memandang serius keperluan untuk mendaftar dan mendapatkan vaksin. Majoriti masih tetap tidak mahu mendaftar dan suka mengambil sikap tunggu dan lihat.

Oleh itu, sudah tiba masanya kerajaan bertindak tegas dengan mewajibkan pengambilan vaksin. Kita tidak boleh lagi bertolak ansur dengan sikap acuh tak acuh individu yang tidak hadir temu janji dan juga rakyat yang masih liat dan tidak mahu mendaftar.

Kita boleh ambil contoh amalan negara lain seperti Arab Saudi yang menetapkan mulai 1 Ogos ini, individu yang hendak berurusan di institusi atau pejabat kerajaan, swasta dan menggunakan pengangkutan awam diwajibkan disuntik vaksin Covid-19. Sebelum itu, pihak berkuasa negara terbabit juga menetapkan hanya pekerja sektor awam dan swasta yang sudah menerima vaksin dibenarkan kembali ke pejabat. Golongan antivaksin juga dilarang melaksanakan haji dan umrah, serta dihalang masuk ke universiti dan pusat beli-belah.

Ini menunjukkan negara luar semakin tegas dalam memastikan sebanyak mungkin populasi penduduk mereka menerima vaksin. Oleh itu, keputusan semasa kita yang hanya menggalakkan dan tidak mewajibkan pengambilan vaksin perlu diubah dengan segera. Cukup-cukuplah segala pujuk rayu yang kita buat, sudah tiba masanya untuk bertindak agresif dan tegas. Jika tidak kes akan meningkat dan menjadi mimpi buruk kepada masyarakat.

Memandangkan kes semakin naik, inilah masa terbaik untuk kita 'memaksa' rakyat menerima vaksin dengan mengenakan sekatan tertentu seperti tidak boleh merentas daerah dan negeri serta tidak boleh memasuki premis kerajaan tanpa vaksin. Ini antara cara untuk kita 'memaksa' dan mewajibkan rakyat menerima vaksin.

Justeru, kita mencadangkan kerajaan menggunakan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 serta akta lain seperti Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) untuk mewajibkan pengambilan suntikan vaksin.

Selepas diisytihar wajib, kerajaan tidak perlu lagi merisaukan statistik pendaftaran sebaliknya sudah boleh terus fokus kepada usaha untuk memberikan suntikan vaksin di seluruh negara secara lebih agresif. Dalam hal ini, kita berharap kerajaan dapat membuka lebih banyak PPV terutamanya PPV bergerak di kawasan luar bandar untuk membolehkan semua lapisan masyarakat diberikan vaksin. Antara lokasi strategik ialah masjid dan surau serta dewan masyarakat.

Tuntasnya, apabila sudah mewajibkan, perlu ada operasi besar-besaran di seluruh negara untuk mendekati rakyat dan memberikan suntikan. Ironinya jika sudah diwajibkan, kita tidak perlu lagi mendaftar untuk mendapatkan vaksin sebaliknya memadai dengan bukti sebagai warganegara untuk layak menerima vaksin.

Penulis pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 5:59 AM