JASAD Alma yang dijumpai selepas 180 hari terperangkap di bawah runtuhan akibat serangan ganas tentera rejim Zionis.
JASAD Alma yang dijumpai selepas 180 hari terperangkap di bawah runtuhan akibat serangan ganas tentera rejim Zionis.
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Ibarat hadiah ulang tahun kelahiran paling bermakna bagi bapa di Gaza, Palestin ini apabila berjaya mengeluarkan jasad anaknya selepas 180 hari terperangkap di bawah runtuhan akibat serangan ganas tentera rejim Zionis.

Perkongsian Muhannad Taha Skaik di Facebook itu meruntun hati selepas bapa malang itu memaklumkan sudah mengebumikan jenazah anaknya, Alma, 12, pada 8 Mei lalu iaitu tarikh sama ulang tahun kelahiran anaknya.

Sebagai bapa, dia sedih menyambut ulang tahun kelahiran anaknya dengan jasad yang berbulan-bulan terperangkap di bawah runtuhan, namun bersyukur berjaya menyempurnakan pengebumian remaja itu.

"Mayat anak perempuan saya berumur 12 tahun dikeluarkan dari bawah runtuhan, 180 hari selepas pembunuhan beramai-ramai keluarga Skaik (keluarga ibunya).

"Untuk makluman, hari ini tarikh lahirnya 8 Mei 2012 dan tarikh pengebumiannya 8 Mei 2024," katanya dalam perkongsian yang tular baru-baru ini.

GAMBAR kenangan Muhannad Taha bersama keluarga tercintanya. FOTO Ihsan Ezz Lulu
GAMBAR kenangan Muhannad Taha bersama keluarga tercintanya. FOTO Ihsan Ezz Lulu

Muhannad Taha menyifatkan, buah hati kesayangannya itu anak yang baik.

"Alma jiwaku, puteriku dan anakku yang baik.

"Saya meraikannya sambil memindahkannya dari bawah runtuhan ke tanah perkuburan," katanya.

Katanya, dia bukan saja kehilangan Alma, malah seluruh keluarganya termasuk isteri, ibu serta adik beradiknya dalam serangan kejam rejim Zionis kira-kira enam bulan lalu.

Rundingan untuk gencatan senjata di wilayah itu yang berjalan sejak berbulan-bulan masih menemui jalan buntu selepas pihak Israel umpama main tarik tali dengan memberikan pelbagai alasan menyerang Gaza bagi menghapuskan kumpulan Hamas.

Susulan itu, perang di Semenanjung Gaza memasuki 224 hari semakin diperluaskan ke Rafah sehingga menyaksikan korban pencerobohan Israel meningkat kepada 35,272 orang manakala 79,205 mangsa lagi cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 7:05 AM