DR Ahmad Farhan (dua dari kiri) selepas perasmian Pejabat Satelit UPM di Kyushu Institute of Technology.
DR Ahmad Farhan (dua dari kiri) selepas perasmian Pejabat Satelit UPM di Kyushu Institute of Technology.

UNIVERSITI Putra Malaysia (UPM) merasmikan Pusat Satelit Super UPM-Kyutech (JSSC) di Kampus Wakatmatsu Kyutech, Jepun, baru-baru ini.

Dirasmikan Naib Canselornya, Datuk Profesor Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah, JSSC itu adalah pejabat satelit UPM di luar negara yang pertama.

Perasmian JSSC itu secara tidak langsung menjadi simbol ikatan dua negara bersama Kyushu Institute of Technology, Jepun (Kyutech) dalam bidang pendidikan dan penyelidikan.

Dr Ahmad Farhan berkata, pembukaan rasmi JSSC memperkuatkan usaha UPM untuk mempromosikan perkongsian strategik, pertukaran budaya dan kerjasama akademik.

Katanya, sebelum ini Kyutech turut membuka kampus satelitnya iaitu Malaysia Super Satellite Campus (MSSC) di UPM yang menjadi simbol persahabatan dan kebersamaan Malaysia dan Jepun.

"Sejak penubuhan MSSC di UPM, ia menjadi pemangkin untuk meningkatkan usaha pengantarabangsaan kedua-dua institusi termasuk memupuk program mobiliti pelajar dan pegawai, penganjuran seminar bersama, pembiayaan inisiatif penyelidikan serta penawaran program akademik secara berkembar.

"Pemilihan Kyutech bertepatan dengan hasrat UPM untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang penyelidikan dengan Jepun bagi melahirkan generasi pelajar, pensyarah dan pentadbir UPM yang berdaya saing dalam bidang yang diceburi dan mampu menyumbang kepada kemajuan negara masing-masing," katanya.

Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Presiden Kyutech, Profesor Dr Yasunori Mitani, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM, Profesor Dr Ismi Arif Ismail, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Profesor Dr Arifin Abdu dan Naib Presiden Hal Ehwal Antarabangsa Kyutech, Profesor Dr Tohru Kamiya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 6:40 AM