FASHA Sandha. FOTO Arkib NSTP
FASHA Sandha. FOTO Arkib NSTP
Norhayati Nordin

Putrajaya: Pelakon popular, Fasha Sandha, 39, berhasrat menjalani rawatan kesuburan in vitro fertilisation (IVF) tahun depan sebagai ikhtiar dan usahanya untuk mendapatkan anak lelaki.

Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan berkata, dia dan suaminya yang juga pelakon, Aidil Aziz memang mahu menambah seorang lagi anak dan berharap dikurniakan bayi lelaki kerana sudah memiliki anak perempuan, Aisha Amaira, 4.

"Kalau ikutkan perancangan memang kami inginkan anak lelaki, kalau ada rezeki. Tapi, belum tahu lagilah, itu semua kerja Tuhan. Kita hanya mampu merancang dan kalau ada rezeki, insya-Allah.

"Buat masa ini kami belum lagi pergi berjumpa dengan doktor pakar. Semuanya kena tunggu habis penggambaran dan baru boleh berjumpa untuk dapatkan nasihat," katanya.

Aidil pula berkata, isterinya memang perlu memperlahankan aktiviti karier seni jika mahu melakukan rawatan IVF itu.

"Betullah, kalau misal kata nak 'plan' (rancang) buat IVF itu, dia (Fasha) kena kurangkanlah kerja terutama, 'shooting' (penggambaran). Sema sedia maklum 'shooting' memang setiap hari dan makan pun kena jaga.

"Lebih-lebih lagi untuk trimester pertama, itu kena jaga betul-betul dan perlu perlahankan segala aktiviti," katanya yang membintangi filem Harimau Malaya: The Untold Journey.

Terdahulu, pasangan sejoli ini ditemui media pada majlis penghargaan, doa selamat dan kesyukuran diadakan mereka bersama pelakon, Elisya Sandha, di sini, malam tadi.

Mengulas acara diadakan, Fasha berkata, dia sudah memasang niat lama untuk mengadakan majlis istimewa bagi menjamu serta meraikan keluarga, sanak saudara, kenalan termasuk kelab peminatnya yang sentiasa menyokong selama ini.

"Sepanjang tahun ini, Alhamdulillah saya dikurniakan pelbagai rezeki oleh Allah untuk keluarga dan karier lakonan juga berjalan lancar. Jadi, saya memang dah berniat lama untuk anjurkan majlis kesyukuran ini.

"Jadi, dengan segala perancangan yang saya buat sendiri termasuk menyediakan hadiah-hadiah bagi cabutan bertuah, makanan enak untuk semua tetamu membuatkan saya berasa amat gembira," katanya.

Untuk karier lakonannya, Fasha kini sibuk menyiapkan penggambaran drama Malang Si Puteri sehingga Februari tahun depan, terbitan Radius One Sdn Bhd yang akan disiarkan Astro Ria dan dijangka bakal mencetus fenomena.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2023 @ 1:52 PM