NORA rindu Alif. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
NORA rindu Alif. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Norhayati Nordin


PENYANYI, Nora Ariffin, 47, berharap kedatangan tahun baru 2020 ini akan memberi ruang yang lebih baik buatnya.

Nora atau nama sebenar Wan Norafizah Wan Ariffin dalam perkongsian ringkas di Instagram (IG) menulis, dia berserah segalanya kepada Allah SWT.

"Dia (Allah) lah sebaik-baik perancang. Moga Allah kurniakan apa yang terbaik untuk saya.

"Moga segalanya lebih baik dari sebelum ini. Bismillahirrahmanirrahim, welcome (selamat datang) 2020,” tulisnya.

Pada 14 Disember lalu, Nora berhadapan ujian besar apabila kehilangan anak keduanya, Muhammad Syakir Alif Johan, 20, yang meninggal dunia.

Alif ditemui tidak sedarkan diri di rumahnya oleh pembantu rumah selepas balik daripada menghantar Nora ke lapangan terbang.

Bagaimanapun, Alif disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Nora yang reda dengan kematian itu, sering berkongsi kerinduannya terhadap Alif menerusi muat naik foto dan video persembahan nyanyian arwah di IG.

Menerusi satu lagi perkongsian terbaru, Nora memuat naik video nyanyian Alif yang mendendangkan lagu Kemarin di pentas Mentor Milenia 2019.

Tulisnya, siapa sangka lagu Kemarin yang dinyanyikan untuk papa, kini juga untuk dirinya.

"Allahuakbar, ada kalanya aku juga rapuh dan tidak mampu. Hidup semakin sunyi. Hanya Allah yang tahu. #mamarindualif. Al-Fatihah.

"Sehingga hari ini (1/1/2020), belum berhenti orang menziarahi saya dan pusara Alif.

"Kawan dari sekolah rendah, menengah, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan lain-lain, rata-rata datang memuji dan mengatakan benda sama.

"Alif anak yang baik, sahabat yang baik, rapat dengan mama dan menghormati orang tua," katanya.

Nora juga menulis dia dan dua anak perempuannya selalu mimpikan Allahyarham Alif.

"Seolah-olah macam biasa. Aktiviti Alif di rumah bersama kami. Ya Allah, berikan aku kekuatan dan ketabahan," tulisnya.

Allahyarham Alif dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tunku, Petaling Jaya pada 15 Disember lalu selepas menjalani proses bedah siasat.

Untuk rekod, Nora kehilangan suami tercinta Allahyarham Johan Nawawi yang juga seorang komposer pada 24 Mac 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 January 2020 @ 6:59 PM