QAZEM akui kurang bergaul sesama artis, tak pandai mereka cerita untuk tarik perhatian
QAZEM akui kurang bergaul sesama artis, tak pandai mereka cerita untuk tarik perhatian
Ridzuan Abdul Rahman


MAMPU bertahan selama 18 tahun dalam industri seni tanah air adalah satu pencapaian terhebat buat Qazem Nor.

Ketika rakan seangkatannya sudah mengucapkan selamat tinggal kepada dunia lakonan, Qazem berbangga kerana kelibatnya masih dapat disaksikan di kaca TV.

Namun, satu perkara yang berbekas di hati pelakon bernama sebenar Mohd Nazim Atim ini ialah kesukaran mencipta populariti dalam kalangan peminat.

“Bukanlah orang tak kenal saya langsung tapi bilangannya amat terhad. Saya pun bukan elak publisiti, tapi tak pandai mereka-reka cerita untuk tarik perhatian peminat.

“Kadang-kadang terasa seperti ada sekatan untuk dikenali. Orang tak ‘nampak’ saya walaupun secara peribadi saya puas hati dengan apa yang diraih,” katanya.

Menurut Qazem, kebiasaannya selepas habis penggambaran, dia terus pulang ke rumah dan jarang bergaul sesama artis.

“Diakui saya tak banyak bercampur dan buat aktiviti dengan mereka. Itu satu kesilapan untuk saya kerana tak bergaul sangat sedangkan dalam industri hiburan kita perlu sentiasa ambil peluang untuk menonjolkan diri.

“Ramai juga kata saya bukan artis nakal, tiada cerita buruk dan gosip liar, sedangkan orang kita sukakan cerita sebegini. Takkanlah saya nak kena buat begitu semata-mata untuk dikenali,” katanya.

Qazem, 46, mula dikenali menerusi drama Misi XX Ray terbitan Aziz M Osman pada 2001.

“Saya diberikan watak antagonis dan bermula dari situlah saya kerap ditawarkan watak begini. Sehingga sekarang apabila ke mana-mana, orang kenal saya dengan watak jahat.

“Saya mula berlakon pada 2001 tapi sebelum itu aktif dalam teater bersama Majlis Belia Malaysia sejak 1990,” katanya yang turut mengikuti kelas lakonan di Akademi Seniman bagi memantapkan lakonannya.

Qazem berkata, dia tidak memilih karakter dan selesa dengan apa saja watak yang diberikan.

“Berilah apa saja watak dan sebagai pelakon, saya akan membawakannya sebaik mungkin. Sekarang saya dah mula berjinak-jinak dengan watak komedi antaranya menerusi drama Ikan Dan Nenasku, Udin Glamer Balik Kampung dan Aku Budak Kampung.

“Saya bawa watak utama untuk drama ini dan reaksi penonton amat positif,” katanya.

Pada masa sama, Qazem gembira kerana ditawarkan berlakon filem Ratu Kala Jengking dan terbaharu, filem Coast Guard.

“Ia sesuatu yang dinanti-nantikan kerana bukan mudah untuk dapat tawaran berlakon filem. Dalam filem Ratu Kala Jengking, saya diberikan watak Tok Bomoh. Walaupun hanya satu babak, saya berikan lakonan terbaik dengan disolekkan seperti orang tua.

“Dalam Coast Guard pula, saya bawa watak anggota maritim yang melakukan penyamaran. Pelakon lain ialah Saharul Ridzwan, Datuk Fizz Fairuz, Adlin Aman Ramli dan Sabri Yunus.

Qazem juga mempunyai kemahiran menguasai seni Silat Sendeng dan mempersiapkan dirinya dengan kemahiran ini sebelum bergelar pelakon.

“Saya memang cintakan seni silat tradisi. Kebolehan ini dimanfaatkan untuk drama aksi yang saya bintangi antaranya untuk watak hero drama Katsarin dan Murid Tok Ayah,” katanya.

Qazem yang berkahwin dengan Nor Azuriana Amirudin pada 2012 bakal dikurniakan anak keenam pada Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 5:30 AM