DANIELLA percaya dipilih kerana bakat.
DANIELLA percaya dipilih kerana bakat.
Ridzuan Abdul Rahman


KELEBIHAN fasih bertutur dalam bahasa Malaysia bawa tuah buat Daniella Sya Yeng Yeng atau Dani. Dalam tempoh yang singkat, Daniella, 30, berjaya mencuri tumpuan peminat menerusi lakonan dalam pelbagai drama dan paling diingati kemunculannya menerusi drama Jodoh Jodoh Annisa.

Bagaimanapun, gadis yang dilahirkan di Sungai Petani, Kedah ini terlebih dahulu menempah nama di negara jiran, Singapura sebelum meraih peluang di negara sendiri.

“Saya sebenarnya bermula sebagai model iklan dan majalah pada usia 16 tahun. Kemudian saya beralih arah sebagai penyampai radio di LiteFM. Peluang ini diperolehi selepas berkali-kali saya mencuba nasib.

“Selepas itu, saya diambil mengacara program Spin untuk saluran Astro hitz. Pada masa sama, saya masih bergelar penyampai radio.

“Beberapa tahun kemudian, saya ditawarkan berlakon telefilem untuk Astro dan terima kerana ketika itu matlamat saya hanya untuk cari duit," katanya.

Biarpun berada di persimpangan dilema memilih antara kerjaya sebagai penyampai radio, pengacara atau lakonan ketika itu, Daniella terus ditawarkan projek drama.

DANIELLA manfaat ilmu silat dipelajari selama 10 tahun untuk watak lasak.
DANIELLA manfaat ilmu silat dipelajari selama 10 tahun untuk watak lasak.

“Saya keliru sehinggalah dapat tawaran berlakon di Singapura sebagai pelakon pembantu dalam siri mini Keong Saik Street pada 2012.

“Seterusnya, Mediacorp Singapura tawarkan saya banyak drama sehingga nekad berhijrah ke negara itu.

“Tahun berikutnya saya diberi peranan utama sebagai pegawai polis, Tan Siew Lan menerusi drama Mata Mata,” katanya.

Rezekinya semakin murah apabila ditawarkan menjadi artis residen Mediacorp.

“Mereka dapat tahu saya pernah jadi penyampai radio dan menawarkan sebagai penyampai program Lush Mornings with Daniella Sya untuk stesen Red FM.

“Selepas beberapa tahun, saya ambil keputusan meninggalkan Mediacorp atas sebab tertentu dan kembali Malaysia untuk berehat seketika.

“Pada 2017, saya rindu untuk kembali berlakon dan bersyukur ditawarkan membintangi drama Aurora Aishah,” katanya.

Langkahnya semakin lebar apabila dilamar menjayakan drama Miss Kapten Cikgu Waiz.

“Sebelum itu saya ditawarkan berlakon drama Dosa. Penggambaran dibuat selepas saya selesai menjayakan Miss Kapten Cikgu Waiz.

“Mungkin saya terlambat jadi pelakon di negara sendiri tetapi hasilnya agak membanggakan kerana peminat sudah mula kenal saya.

“Mereka kenal saya sejak berlakon siri KL Gangster Underworld dan Jodoh-Jodoh Annisa. Peminat saya bukan saja dalam kalangan orang muda tetapi mereka yang berusia," katanya.

Drama Dosa yang dibintanginya pada 2017 meninggalkan kesan mendalam buat Daniella kerana bergandingan dengan ramai bintang popular antaranya Datuk M Nasir, Remy Ishak, Hisham Hamid dan Ashraf Sinclair.

“Saya masuk industri bukan kerana mahu kejar glamor atau populariti tetapi sebab minat. Namun, saya sedar populariti perlu ada sebagai syarat pakej pekerjaan saya.

“Dalam kehidupan sebenar, saya pemalu orangnya. Saya menceburi bidang lakonan untuk memahami diri, psikologi saya dan orang lain.

“Saya berterima kasih sekiranya bergelar bintang suatu hari nanti tetapi itu bukan alasan utama mengapa saya kembali berlakon,” katanya.

DANIELLA turut mendapat tawaran membintangi filem Iron Man 3, Marco Polo, Crazy Rich Asians dan Power Rangers.
DANIELLA turut mendapat tawaran membintangi filem Iron Man 3, Marco Polo, Crazy Rich Asians dan Power Rangers.

Daniella juga percaya penerbit dan pengarah memilihnya menjayakan produk mereka kerana bakat.

“Mungkin kekurangan pelakon berbangsa Cina menjadi faktor saya dipilih berlakon banyak drama. Namun begitu, ada juga drama yang memerlukan saya bawa watak gadis Melayu.

“Ramai yang puji saya fasih bahasa Malaysia. Sebenarnya saya ramai kawan Melayu dan kami berbual dalam bahasa Malaysia. Di rumah saya dan keluarga menggunakan bahasa Inggeris,” katanya.

Seperkara yang menarik mengenai Daniella, siapa sangka dia meminati aktiviti lasak dan pernah belajar seni persilatan di Malaysia dan Indonesia selama 10 tahun.

“Tujuan saya belajar untuk mempertahankan diri. Ketika itu saya keliru sama ada mahu belajar menari atau silat.

“Seorang rakan cadangkan saya agar belajar Silat Gayong kerana ia ibarat dua dalam satu yang ada gerakan buah seperti menari.

“Ilmu yang diperoleh itu saya manfaatkan dalam siri KL Gangster Underworld dan filem Abang Long Fadil 3," katanya.

Dalam pada itu, Daniella meluahkan rasa kesal dengan sikap segelintir netizen yang menuduhnya mereka cerita menolak tawaran produksi Hollywood sebelum ini.

Menurut Daniella, dia pernah didatangi tawaran membintangi filem Iron Man 3, Marco Polo, Crazy Rich Asians dan Power Rangers.

“Tak perlu saya nak reka cerita untuk meraih publisiti murahan. Saya ada skrip sebagai bukti pernah dapat tawaran dari Hollywood,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 6:00 AM