NADIA Brian serik berlakon dengan haiwan berbisa. FOTO Zunnur Al Shafiq
NADIA Brian serik berlakon dengan haiwan berbisa. FOTO Zunnur Al Shafiq
Norhayati Nordin

PELAKON Nadia Brian, 28, tidak mahu lagi melakonkan watak yang memerlukan dia beraksi dan memegang haiwan berbisa seperti kala jengking atau ular.

Menurut pelakon drama Titian Takdir ini, cukuplah dia menimba pengalaman berlakon dengan haiwan itu dalam filem Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda.

Filem arahan Bade Azmi itu sudah ditayangkan di pawagam seluruh negara.

Bagaimanapun, Nadia menganggap itu sebagai antara pencapaian terbaiknya sebagai pelakon.

“Saya pun tak tahu dari mana datangnya kekuatan dan kecekalan ketika melakonkan babak yang memerlukan kala jengking dan ular dipegang tanpa rasa takut.

“Perasaan berdebar-debar dan bimbang jika diri akan tercedera seperti disengat kala jengking atau dibelit ular pun saya tidak terfikir langsung.

“Apa yang saya tahu dan nak lakukan ketika penggambaran adalah membuat yang terbaik. Ia kerana, itulah peluang saya untuk membuktikan bakat lakonan saya,” katanya.

SUAMI sebagai juri yang menilai lakonannya.FOTO Zunnur Al Shafiq
SUAMI sebagai juri yang menilai lakonannya.FOTO Zunnur Al Shafiq

Nadia yang sudah mendirikan rumah tangga dengan Muizz Nasruddin pada November tahun lalu berkata, dia bersyukur dengan pengalaman kali pertama dilakukan itu.

“Sekarang, saya fikir tidak akan lagi berlakon dengan haiwan berbisa. Biarpun mendapat tawaran bayaran yang tinggi daripada penerbit, saya tidak akan mengambilnya.

“Saya sangat bersyukur tidak mengalami kecederaan ketika berlakon dengan haiwan itu. Jadi, saya tidak pasti percubaan kali kedua atau seterusnya akan berjaya,” katanya.

Nadia yang kini sibuk berlakon drama berkata, dia juga gembira rezeki dalam kerjaya lakonan masih ada walau pun kini berstatus isteri orang.

“Bukan sekadar rezeki berlakon saja bertambah, tetapi tak sangka masih ada lelaki yang nak mengganggu dan berkenalan walau pun mereka tahu saya sudah berkahwin.

“Ramai yang hantar mesej langsung (DM) di Instagram tetapi saya bertuah kerana ada pengurus yang membantu. Kak Min sebagai pengurus saya sekarang amat peka.

“Saya sangat berterima kasih dengan bantuan Kak Min. Apapun, walau sudah berkahwin tetapi fokus pada kerjaya lakonan masih sama,” katanya.

Nadia berkata, suaminya sangat memberi sokongan dan Muizz juga bertindak sebagai juri yang menilai lakonannya.

“Suami saya seorang yang banyak idea. Dia juga suka menegur lakonan saya supaya dapat memperbaiki mana yang lemah dan kurang dari sudut pandangannya.

“Sikap memberi pendapat dan komen itu yang saya suka dengan Muizz. Dia banyak bantu saya memperbaiki mutu lakonan melalui kritikan diberi,” katanya.

Nadia yang baru empat bulan bergelar isteri berharap mereka akan segera dikurniakan cahaya mata.

Menurut Nadia, anak adalah rezeki dan kehadiran anak sangat penting bagi mengeratkan lagi hubungan kasih sayang suami isteri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 6:45 AM