SAHARUL Ridzwan mahu mencabar dirinya untuk melakonkan watak pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dalam filem Coast Guard. FOTO Rosela Ismail
SAHARUL Ridzwan mahu mencabar dirinya untuk melakonkan watak pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dalam filem Coast Guard. FOTO Rosela Ismail
Ramlah Zainal


“SAYA mahu keluar daripada gelaran ‘hero jambu’ dengan memilih berlakon dalam filem genre aksi Coast Guard pada tahun ini.

“Malah, saya sudah menanti lapan tahun untuk beraksi di layar perak,” kata pelakon kacak Saharul Ridzwan, 30, ketika ditanya mengenai projek filem terbarunya Coast Guard.

Menurutnya, dia juga mahu mencabar dirinya untuk melakonkan watak pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dalam filem itu.

“Selama ini, saya sering ditawarkan watak hero yang romantik dan kisah cinta sedangkan bakat lakonan lebih daripada itu.

“Justeru, saya berharap lakonan dalam filem Coast Guard akan menjadi platform untuk melangkah jauh dalam industri perfileman,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam filem genre aksi Coast Guard arahan Hashim Rejab itu, Saharul akan bergandingan dengan Julia Farhana Marin dan Emma Maembong selaku teraju utamanya.

Mengulas prestasi lakonannya pula, kata Saharul, dia tidak kisah jika ada pihak yang mengkritik lakonannya masih kayu selepas lapan tahun berlakon.

“Selagi belum menang trofi Pelakon Lelaki Terbaik dalam drama atau filem, saya tidak kisah jika ada orang mengkritik lakonan masih kayu,” katanya.

Kata pelakon yang menempa nama menerusi drama bersiri Hati Perempuan itu, dia juga tidak cepat melatah dengan kritikan warganet.

“Saya akui pada peringkat awal pembabitan dalam bidang seni dulu lakonan masih kaku.

“Berlakon adalah periuk nasi untuk menyara keluarga sebab itu saya berusaha memperbaiki prestasi lakonan dari semasa ke semasa,” katanya.

Mengenai anugerah pula, kata Saharul, dia mengimpikan untuk memegang trofi pelakon terbaik sebagai kepuasan dalam bidang lakonan.

“Saya juga ada strategi tersendiri untuk terus bertahan dalam bidang seni tempatan selepas sekian lama berlakon.

“Selain itu, saya juga memilih naskhah dan tidak kerap muncul di kaca televisyen kerana tidak mahu penonton bosan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Julai 2019 @ 4:32 PM