NADIA BRIAN
NADIA BRIAN

Ramlah Zainal

WAJAH jelita sekadar bonus buat pelakon meningkat naik Nadia Brian kerana dia lebih selesa mempertaruhkan bakatnya dalam bidang lakonan.

Berkat kerja keras, nama Nadia, 27, juga semakin mendapat perhatian ramai sejak berkecimpung dalam bidang seni lebih dua tahun lalu.

Bukan saja tawaran berlakon drama tidak pernah putus, Nadia juga sudah diberi kepercayaan beraksi menerusi tiga filem iaitu Blok 404, Mak dan terbaru selaku heroin filem Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda terbitan A Aida Production.

Secara peribadi, Nadia mengakui sangat bersyukur kerana ramai penerbit dan pengarah terus memberi kepercayaan kepadanya untuk terus mengembangkan bakatnya dalam bidang lakonan.

“Saya tidak kisah nama naik secara perlahan-lahan kerana tiada terpalit dengan sebarang kontroversi. Pada masa sama, saya juga lebih selesa nama dikenali kerana lakonan yang memberi impak pada penonton. Contohnya, ramai peminat yang memberi maklum balas memberangsangkan kepada lakonan saya dalam filem Blok 404 yang

sudah ditayangkan di pawagam sebelum ini,” katanya.

Menjadikan Datin Paduka Umie Aida dan Erra Fazira sebagai sumber inspirasi dalam bidang lakonan, Nadia akui masih banyak ilmu yang perlu ditimba.

“Saya juga tidak kisah watak pembantu atau heroin asalkan ia memberi impak kepada penonton. Impian saya mahu menang trofi Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia dan menjadi primadona filem Melayu pada masa depan,” katanya.

Berkongsi lakonannya dalam filem Ratu Kala Jengking, Nadia berkata, watak dalam filem yang diangkat daripada cerita dongeng rakyat itu sangat mencabar kemampuannya dalam lakonan.

“Saya terima tawaran berlakon dalam filem itu kerana mahu bekerja dengan pengarah berkaliber Bade Azmi dan tertarik dengan jalan ceritanya.

“Saya juga sudah memberikan komitmen 100 peratus untuk memberikan yang terbaik pada watak dilakonkan,” katanya.

Selain itu, Nadia juga berdepan pelbagai cabaran untuk merealisasikan watak Siti dalam filem itu.

“Selain belajar bersilat, saya juga melakukan sendiri aksi lagak ngeri termasuk bergelut dengan ular sawa seberat 12 kilogram dan kala jengking menjalar di tubuh.

“Penggambaran juga berlangsung selama sebulan di hutan simpan di Kota Tinggi, Johor pada Mei lalu,” katanya.

Selain Nadia, filem itu turut dijayakan 36 pelakon termasuk Datuk Fizz Fairuz, Mas Khan, Amar Ashraf, Firman, Eyra Hazali, Raja Azmi dan Fauziah Nawi.

Selain itu, filem pertama lakonannya berjudul Mak bergandingan dengan Remy Ishak, Nadia Nissa, Wan Hanafi Su dan Dian P Ramlee masih menanti tarikh tayangan

di pawagam.

Cabar diri watak wartawan

Impian Nadia melakonkan watak wartawan tercapai menerusi drama bersiri 20 episod Rahasia Kasih yang bersiaran di saluran ntv7 ketika ini.

Dalam drama bersiri arahan Jamal Khan itu, Nadia bergandingan dengan pelakon baru Isa Khan selaku teraju utama.

“Alhamdulillah, drama corak ‘urban’ seperti ini ada kelainan dan ternyata mendapat sambutan penonton. Saya memang tertarik dengan watak wartawan yang bekerja di kedai kopi di New Zealand seperti digambarkan dalam cerita ini.

“Sebagai pelakon, saya juga buat kajian mengenai watak menerusi rakan yang terbabit dalam dunia kewartawanan untuk memberi gambaran sebenar kepada penonton,” katanya.

Ditanya gandingan dengan Isa pula, Nadia berkata, dia selesa bekerja dengan adik kepada pelakon Miller Khan itu.

“Ramai peminat fikir kami bercinta di luar set kerana keserasian yang ditonjolkan dalam lakonan. Hakikatnya, kami hanya bercinta dalam drama itu saja kerana saya belum bertemu pengganti selepas putus cinta sebelum ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nadia juga sibuk menyelesaikan baki penggambaran drama bersiri Aku Cinta Dia untuk slot Lestary yang menjalani penggambaran di Amsterdam bergandingan dengan Aiman Hakim dan Hannah Delisha.

Selain itu, drama bersiri Slot Samarinda Cinta Tanpa Henti bergandingan cengan Ariel Zafrel dan Siti Elizad.

Tidak ketinggalan, Nadia juga mencuba bakat dalam bidang pengacaraan menerusi program bercorak travelog Jom Fesyen untuk saluran HyppTV.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 November 2018 @ 5:30 AM