Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Kemunculan tiga pelakon siri adiwira Ultraman iaitu Hiroki Matsumoto, Raiga Terasaka dan Yura Murayama didatangkan khas dari Jepun ke negara ini mendapat sambutan gemuruh penggemar 'superhero' itu yang berlangsung di ibu kota, hari ini.

Lebih 1,000 peminat siri Ultraman hadir membanjiri sebuah pusat membeli belah dekat Bukit Bintang di sini untuk bersua muka dengan Hiroki yang pernah membintangi Ultraman Decker bersama rakan pelakonnya, Yura sebagai Ichika Kirino manakala, Raiga pula muncul sebagai Ultraman Trigger.

Hiroki berkata, dia tidak menduga siri Ultraman cukup diminati oleh masyarakat Malaysia dan memberikan sambutan meriah dengan kehadiran mereka.

"Terima kasih kerana menyokong kami terutamanya siri Ultraman sejak dari dahulu sampai sekarang. Saya tahu sudah banyak karakter Ultraman disiarkan, tetapi tetap menerima sambutan baik daripada penonton di sini.

"Saya sangat bangga dan berbesar hati menjadi salah seorang pemegang watak Ultraman sebagai Ultraman Decker. Ramai juga peminat Decker di sini. Saya harap semua orang gembira dan terhibur hari ini," katanya sempena mempromosikan siri baharu, Ultraman Blazar.

Sementara itu, ada juga penggemar yang hadir menyarankan mereka bertiga untuk mencuba keenakan nasi lemak dan ia juga disambut baik oleh bintang siri adiwira popular dari negara 'matahari terbit' itu.

Hiroki mewakili Yura dan Raiga memaklumkan sedia mencuba hidangan nasi lemak sekiranya berkesempatan kerana yakin ia antara makanan Malaysia yang lazat.

Sementara itu, pameran istimewa, Ultraman Decker Final Tour: Journey to Blazar turut berlangsung mulai 10 Jun lalu sehingga 2 Julai depan dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Jun 2023 @ 4:46 PM
HIROKI Matsumoto sebagai Ultraman Decker
HIROKI Matsumoto sebagai Ultraman Decker