PENGUMPUL mainan Pokemon, Zairy Affendy. FOTO Aziah Azmee
PENGUMPUL mainan Pokemon, Zairy Affendy. FOTO Aziah Azmee
ZAIRY Affendy ketika ditemui di KL Collector Markets di Grand Bazaar. FOTO Aziah Azmee
ZAIRY Affendy ketika ditemui di KL Collector Markets di Grand Bazaar. FOTO Aziah Azmee
Redzuan Muharam


KISAH adiwira atau 'superhero' Ultraman dalam kalangan penonton di negara ini tidak asing lagi.

Sejak 1960-an lagi, tayangan siri Ultraman yang juga 'penyelamat bumi' dari Jepun ini sudah diminati ramai.

Apatah lagi, bagi penggemar setia siri Ultraman pastinya tentu tahu susur galur salasilah 'keluarga besar' Ultraman yang sehingga kini sudah pelbagai nama diperkenalkan dengan rangkaian siri menarik.

Terbaharu, mulai 8 Julai lalu diperkenalkan satu lagi siri baharu Ultraman iaitu Ultraman Blazar di saluran Astro Ceria, jam 8.30 malam.

Sebelum ini, penonton ditayangkan dengan siri Ultraman Decker yang menampilkan juga Ultraman Trigger.

Ketua Kandungan Kanak-Kanak Astro, Farah Fauzana berkata, tayangan siri Ultraman masih relevan kepada penonton di negara ini sama ada untuk tarikan kanak-kanak mahupun seisi keluarga.

Katanya, kisah Ultraman sudah sebati dengan penonton tempatan.

"Kami di Astro Ceria kali ini membawakan pula siri Ultraman Blazar yang dilihat mampu memberi pengalaman berbeza berbanding rangkaian siri yang pernah ditayangkan sebelum ini.

"Kami cuba untuk menyajikan rancangan berbentuk hiburan dalam pelbagai cara. Ia bukan saja sesuai serta menghiburkan untuk ditonton kanak-kanak, tetapi kepada ibu bapa dan ahli keluarga lain juga.

"Secara tidak langsung, dalam satu keluarga itu semuanya berpeluang merasai sendiri pengalaman menonton Ultraman bersama-sama. Justeru, hubungan kekeluargaan menjadi lebih erat," katanya.

Farah berkata, istimewanya lagi tayangan siri Ultraman Blazar kali ini adalah turut dialihkan bahasa kepada Bahasa Melayu selain dapat ditonton juga dalam Bahasa Jepun dan Bahasa Inggeris.

Baru-baru ini, Astro Ceria turut membawa khas kedatangan tiga pelakon Ultraman dari negara matahari terbit itu di sebuah pusat beli-belah terkemuka di ibu kota, sempena mempromosikan siri Ultraman Blazar.

Mereka ialah Hiroki Matsumoto yang pernah melakonkan watak Ultraman Decker, Raiga Terasaka (Ultraman Trigger)dan Yura Murayama untuk watak Ichika Kirino.

Lebih 1,000 peminat Ultraman di negara ini hadir pada acara ramah mesra dan sesi pertemuan istimewa diadakan selama hampir tiga jam itu.

Rata-rata pengunjung yang hadir puas dan gembira dapat merakamkan saat indah bersama pelakon berkenaan.

Hiroki berkata, dia sangat gembira kerana siri Ultraman cukup diminati di Malaysia dan menyifatkan sambutan meriah diterima adalah sangat berharga baginya.

"Terima kasih sudah menyokong siri Ultraman sejak dulu sampai sekarang. Saya tahu banyak watak Ultraman pernah disiarkan dan bangga ia masih diterima baik oleh penonton di Malaysia.

"Saya juga begitu berbesar hati apabila diberikan tanggungjawab sebagai Ultraman Decker sebelum ini. Terima kasih kerana ada ramai juga peminat Ultraman Decker di sini," katanya.

Hadir sama pada acara promosi siri Ultraman Blazar itu ialah Pengurus Eksekutif Jabatan Perniagaan Antarabangsa Tsubaraya Productions, Kei Minamitani.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Jun 2023 @ 2:06 PM