Norhayati Nordin


SEJAK menceburi bidang nyanyian pada 2007, individu yang banyak menyokong penyanyi dan komposer berkaliber tanah air, Aizat Amdan, 30, adalah bapanya, Datuk Amdan Mat Din.

Pada Januari lalu, Aizat reda apabila bapanya yang banyak memberi inspirasi itu meninggal dunia. Memerlukan masa untuk bangkit dengan semangat baru, Aizat tampil dengan lagu baru menjurus pada perkongsian kisah kehilangan berjudul Angin Lalu.

Bertemunya selepas pelancaran muzik video Angin Lalu dan persembahan mini di Garden Theater Mid Valley, Kuala Lumpur, baru-baru ini, Aizat berkongsi luahannya.

Menurut Aizat, dia sangat bersyukur dan gembira kerana dapat melaksanakan satu daripada dua impian yang dikongsikan arwah bapanya.

AIZAT reda dengan pemergian bapa Januari lalu kini tampil dengan lagu baru Angin lalu. FOTO: Supian Ahmad
AIZAT reda dengan pemergian bapa Januari lalu kini tampil dengan lagu baru Angin lalu. FOTO: Supian Ahmad

“Sebenarnya arwah memang mahu saya mengadakan persembahan nyanyian yang diiringi pemuzik orkestra kerana dia sangat sukakannya.

“Selain itu, arwah yang sentiasa peka dengan perjalanan karier saya dalam nyanyian dan penciptaan lagu meminta supaya belajar bahasa Mandarin. Untuk belajar bahasa Mandarin, saya masih usahakan mempelajarinya dan setakat ini bolehlah bertutur sedikit. Insya-Allah, masih perlu masa,” katanya.

Berbicara mengenai lagu Angin Lalu, Aizat berkata, lagu itu sudah dicipta melodinya sejak beberapa tahun lalu bersama rakan, Mel Ramlan.

“Ketika itu, jalan cerita ilham lagu Angin Lalu diperoleh daripada perkongsian kisah putus cinta seorang rakan. Namun, lagu mengisahkan ‘kehilangan’ ini bersifat menyeluruh.

“Kesakitan dirasai bukan hanya kehilangan kekasih, tetapi boleh dikaitkan dengan kematian insan tersayang dalam kalangan keluarga seperti ibu, bapa, datuk, nenek, adik-beradik mahu pun rakan,” katanya.

AIZAT ketika membuat persembahan sempena pelancaran muzik video terbarunya, Angin Lalu.
AIZAT ketika membuat persembahan sempena pelancaran muzik video terbarunya, Angin Lalu.

Aizat berkata, selagi ada masa haruslah dipastikan ia tidak terlalu difokuskan pada urusan kerja sehingga terlupa pada insan tersayang.

Katanya, masa yang berlalu takkan boleh diundur, jadi cubalah hargai masa yang ada untuk bersama insan tersayang supaya tidak ada rasa terkilan apabila mereka sudah tiada.

Menurut Aizat, dia bersyukur selama bapanya sakit, Allah memberi peluang kepadanya untuk menghabiskan masa menjaganya hingga ke akhir hayat.

Dalam persembahan itu, Aizat menghiburkan penonton dengan lima lagu popularnya iaitu Hanya Kau Yang Mampu, Sampai Hari Tua, Angau, Lagu Kita dan Angin Lalu.

SAMPAI HARI TUA CATAT KEJAYAAN MEMBANGGAKAN

Seiring dengan perkembangan muzik masa kini yang lebih menjurus pada jualan digital, ternyata ada rezeki istimewa buat Aizat.

Siapa sangka lagu Sampai Hari Tua yang dilancarkan Aizat tahun lalu sangat menarik perhatian pendengar yang menyukai karya itu.

SAMPAI Hari Tua catat kejayaan membanggakan.
SAMPAI Hari Tua catat kejayaan membanggakan.

Ini kerana selepas persembahan mini itu, Aizat dikejutkan dengan penganugerahan platinum untuk Lagu Sampai Hari Tua.

Lagu berkenaan berjaya mencatat jualan sebanyak lebih 400,000 unit di platform digital yang melayakkannya meraih anugerah Platinum daripada Warner Music.

Aizat berkata, dia memang tak sangka lagu Sampai Hari Tua begitu disukai ramai hingga berjaya mendapat anugerah Platinum itu.

“Terima kasih kepada peminat semua yang tidak jemu menyokong karier nyanyian saya selama ini. Terima kasih juga kerana menerima karya lagu saya.

“Saya minta teruskan sokongan anda dan doakan yang baik-baik buat saya supaya sentiasa diberikan ilham oleh Allah untuk mencipta lagu-lagu terbaik,” katanya.

Aizat berkata, yang pasti kini dia akan giat mempromosikan lagu Angin Lalu kerana karya itu sangat bermakna untuk dikongsi kepada masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 4:30 AM