AIZAT AMDAN
AIZAT AMDAN
Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI Aizat Amdan berkongsi perasaan pemergian bapa tercinta, Datuk Amdan Mat Din pada 9 Januari lalu menerusi single terbaru Angin Lalu.

Malah, ia turut dipersembahkan menerusi pembikinan filem pendek Angin Lalu.

Aizat yakin, lagu ciptaan bersama Mel Ramlan itu juga akan dapat dirasai pendengar yang melalui pengalaman sama dengannya.

“Sepatutnya lagu ini dilancarkan pada Disember lalu tetapi keadaan ayah saya tidak mengizinkan ketika itu.

“Asalnya tajuk lagu ini adalah Sepi, tapi saya tukar kepada Angin Lalu. Apa yang boleh dikatakan, lagu ini bercerita mengenai kehilangan seseorang. Bukan mengenai kisah untuk melupakan tetapi bagaimana kita membawa apa yang berlaku ke masa depan.

“Ia termasuklah dugaan dan memori yang ada kerana kita tidak mungkin akan melupakanya,” katanya.

Aizat yang ditemui pada majlis perlancaran filem pendek Angin Lalu di Pejabat Urusan Warner Music Malaysia di sini mengakui dirinya berasa sunyi sejak kematian bapa.

“Tidak dinafikan saya sunyi, tetapi kehidupan harus diteruskan.

“Buat masa ini saya banyak memberi fokus kepada kerjaya saja,” katanya.

Bercakap mengenai filem pendek untuk single terbarunya itu, Aizat berkata ia adalah gimik sebelum melancarkan secara rasmi lagu pada 17 Mei nanti.

“Memang ini gimik, sebab dalam waktu sekarang kita perlu lebih kreatif. Jadi saya pilih untuk menerbitkan filem pendek.

“Saya tidak berlakon, tapi membuat kemunculan istimewa saja.

“Untuk kali ini, saya gunakan pendekatan yang berbeza sedikit untuk melancarkan lagu. Dalam masa sama, ia dilancarkan pada bulan Ramadan. Kalau tidak, waktu itu saya hanya fokus buat lagu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 9:02 PM