AIZAT mahu isu sindir badan dipandang matang.
AIZAT mahu isu sindir badan dipandang matang.
Georgie Joseph


MUTAKHIR ini, penyanyi, Aizat Amdan, 34, kerap dihinggapi komen berbaur sindir badan atau 'body shaming' gara-gara fizikal terkininya. Walaupun cuba sedaya-upaya menepis, impaknya tetap menyelinap mengacau sanubarinya.

Aizat terpanggil untuk menyuarakan kebimbangan terhadap isu berkenaan. Bukan setakat untuk dirinya, tetapi buat sesiapa juga yang menjadi mangsa sindir badan dalam kalangan masyarakat kita.

Apa yang pasti, penyanyi lagu Hadiahkan Duka itu baik-baik saja dan sihat walafiat. Dia juga tidak nafikan berat badannya bertambah, namun bukan pada tahap membimbangkan.

"Memang berat saya banyak naik tapi tidak mendadak. Ramai bandingkan saya dengan penampilan awal-awal dulu. Saya tak fahamlah, cuba tengok gambar dulu.

"Saya naik (badan) tapi tentu saya kena kekalkan gaya hidup sihat. Apa-apapun, paling penting saya cuma nak beritahu orang saya sihat. Alhamdulillah. Tiada penyakit kronik atau seumpamanya dan saya bersyukur," katanya.

Namun Aizat percaya masyarakat sepatutnya kini lebih peka serta mengambil iktibar terhadap isu sindir badan. Ia bukan isu yang harus dijadikan gurauan.

Kepayahan untuk melihat sebelah mata terhadap isu berkenaan cukup dirasainya sendiri. Walaupun kesedaran serius terhadap isu itu mulai diperbual, namun perlu diperketatkan lagi.

"Orang kena faham sindir badan sekarang sudah tak 'cool'. Saya rasa ikut fatwa pun ia satu dosa. Hal itu tak sedap untuk kita dengar. Mula-mula saya tepis perkara itu.

"Tapi sampai satu masa, saya terpaksa luah kepada isteri perkara itu beri kesan terhadap saya. Barangkali itu juga faktor kenapa saya tidak berkongsi hantaran (media sosial).

"Istilah sindir badan itu pun baru beberapa tahun dikenali. Alhamdulillah kesedaran itu sudah ada, tapi saya rasa kena laungkan lebih lagi. Kita pun kena matanglah mengenainya," katanya.

Menurut Aizat, dia faham mungkin orang cuba mulakan perbualan dengan gurauan mengenai fizikal. Tapi, katanya masyarakat patut sudah boleh fikir dan perbaiki mengenai situasi itu sekarang.

"Di luar (Malaysia) sana, sudah banyak artis berbadan besar. Tak ada pun isu itu. Sedihlah sebab di Malaysia tak majukan fikiran berhubung isu itu.

"Seperti ketika buat persembahan di Riuh, saya tak fikir pun pasal badan saya. Jadi, saya harap orang akan reviu pasal persembahan kerana bukan senang tarik ribuan penonton ketika itu terhadap artis tempatan," katanya.

Berkongsi kisahnya melayari bahtera perkahwinan dengan pengurusnya Elyssa Alia Alias, 35, Aizat semakin mempelajari banyak hal apabila bergelar suami.

Katanya, mereka juga pasangan yang mahukan hubungan kekal harmoni sampai bila-bila.

AIZAT sentiasa menekankan kepada gaya hidup sihat.
AIZAT sentiasa menekankan kepada gaya hidup sihat.

"Kami pun masih belajar mengenai diri masing-masing. Kalau ada hal yang kami rasa tak elok, kami terus terang saja. Itu yang paling saya hargai pasal hubungan antara kami dan semestinya nak perbaikilah.

"Kami mahu pastikan sentiasa jujur sesama sendiri. Sekarang ini banyak kes yang berlaku sekeliling kita dan harapnya takkan berlaku kepada kamilah kan," katanya.

Bagi Aizat, paling penting dalam perhubungan adalah perlu dahulukan kematangan. Mereka pun bukan pasangan sempurna dan ada kerisauan perkahwinan dilanda gelora.

"Tapi semestinya kami tidaklah naif. Kalau apa-apa jadi kepada kami, kena matanglah tanganinya. Ini pun belum ada anak, masih rasa seperti bujang ibarat sepasang kekasih," katanya.

Sebagai selebriti, Aizat akur perkahwinannya menjadi ikutan ramai. Namun dia tidak setuju apabila label bersifat serong ditujukan kepada mana-mana artis.

"Ia akan dihebohkan sampai tahap berlebihan. Saya tak salahkan sesiapa pun, sebab orang tengok artis yang mereka kenal dan memang khalayak akan tengok.

"Label artis itu dicalar terutama pasangan selebriti. Orang tengok dan usik cakap hubungan itu tentu tak bertahan. Hal itu tak patut jadi gurauan," katanya.

Bercakap soal cahaya mata, Aizat menyerahkannya kepada rezeki. Baginya, impian menambah ahli keluarga memang sentiasa diidamkan mereka.

"Kami masih baru berkahwin, kalau ada rezeki, semestinya Kami mahu jadi ibu bapa. Itu satu hal yang kalau jadi pada masa hadapan, tentu sekali perkara terindah," katanya.

Tampil dengan jenama Ai.Z untuk pasaran lagu Inggeris tidak lama dulu, Aizat berkata, projek untuk jenama itu masih berjalan. Malah, dia ada misi untuk kembangkannya lebih jauh.

"Ai.Z masih bergerak. Cuma saya ambil rehat sebentar sempena Ramadan lalu. Kami akan kukuhkan jenama itu di Asia Tenggara dan mulakan di Indonesia terlebih dulu," katanya.

Bagi merealisasikan impian itu, Aizat berhubung dengan individu penting di arena hiburan Indonesia.

"Tempoh hari saya ada bertemu abang kepada penyanyi Tulus iaitu Riri. Mengejutkan, dia suka Ai.Z. Dia banyak beri nasihat kepada saya bagaimana nak promosikan Ai.Z dan Indonesia pasaran yang patut diintai.

"Insya-Allah pada masa hadapan lebih banyak agenda untuk Ai.Z. Saya nak timba ilmu bagaimana Riri boleh naikkan nama Tulus tanpa bergantung kepada label besar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2023 @ 6:40 AM