KERJASAMA Aizat dengan Hanin Dhiya buka ruang cuba nasib di pasaran Indonesia.
KERJASAMA Aizat dengan Hanin Dhiya buka ruang cuba nasib di pasaran Indonesia.
Georgie Joseph


HAJAT penyanyi Aizat Amdan, 31, mahu berguru lebih mendalam mengenai muzik di Stockholm, Sweden tahun lalu menjadi lebih manis apabila dipertemukan dengan penyanyi Indonesia, Hanin Dhiya.

Aizat berkata, pertemuan itu sekali gus membuka peluang untuknya bekerjasama dengan bekas peserta program Rising Star Indonesia menerusi lagu baharunya berjudul Ku Mau.

Malah, prosesnya berlaku secara mudah, pantas dan spontan.

Aizat bersyukur apabila pihak pengurusan Hanin turut teruja merealisasikan projek berkenaan.

Bagi Aizat, peluang berkenaan umpama bulan jatuh ke riba memandangkan dia sendiri memang mengagumi bakat gadis berusia 19 tahun itu.

"Kami bertemu di Stockholm sewaktu mewakili negara masing-masing dalam sebuah bengkel muzik. Saya sangat kagum dengan bakat nyanyian Hanin selepas melihat nyanyian semulanya untuk lagu Pupus daripada Dewa 19.

"Pada hari terakhir bengkel itu, saya luahkan hasrat untuk bekerjasama dengannya dan alhamdulillah pihak Hanin pun teruja. Bekerja dengannya memang sangat menyenangkan selain dia juga 'sempoƌ'.

AIZAT gembira berpeluang bantu organisasi yang menghulurkan pertolongan kepada orang ramai ketika PKP.
AIZAT gembira berpeluang bantu organisasi yang menghulurkan pertolongan kepada orang ramai ketika PKP.

"Menerusi kerjasama ini, saya optimis lagu ini akan membuka ruang buat saya cuba nasib di pasaran Indonesia. Memang inilah impian saya selama ini untuk dapat eksport lagu sendiri ke luar negara pula," katanya.

Bercerita lanjut mengenai inspirasi lagu berkenaan, Aizat mengakui ada mengambil melodi daripada beberapa lagu antarabangsa.

Menurutnya, dia agak bimbang juga jika terdapat persamaan, namun yakin ia tetap sarat dengan sentuhan sendiri.

"Lagu itu ringan dan santai serta mengambil aura lagu nyanyian Bazzi. Saya akui inspirasinya banyak daripada Bazzi selain turut menjadikan lagu Senorita nyanyian Camila Cabello dan Shawn Mendes sebagai rujukan.

"Memang bimbang juga jika ia kedengaran sama tapi yang penting, lagu itu sentuhan saya sendiri. Bagaimanapun, bagi saya muzik itu 'universal' dan gembira penerimaan pendengar sangat baik setakat ini," katanya.

Aizat ditemui pada pelancaran lagu terbabit juga berpuas hati apabila dapat hasil video muzik terbaik untuk Ku Mau, baru-baru ini.

Menurutnya, pembikinan video muzik itu dibuat beberapa hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

"Nasib baik ketika penggambaran dibuat, PKP belum dilaksanakan. Kami mengambil masa yang singkat untuk melakukan pembikinan video muzik itu dengan bantuan produksi dari Indonesia.

"Pemilihan judul Ku Mau juga cukup tepat buat saya secara peribadi memandangkan ia sesuai untuk pasaran di sini dan seberang. Apatah lagi di Indonesia sendiri memang menekankan pemerkasaan terhadap bahasa mereka," katanya.

Dalam pada itu, Aizat mendedahkan dia hampir 'mati kutu' apabila tidak dapat bekerja sewaktu tempoh PKP. Bagaimanapun, dia gembira apabila dapat peluang terbabit membantu organisasi yang menghulurkan pertolongan kepada orang ramai ketika itu.

"Sehinggakan ibu saya tanya apa lagi saya nak

buat. Buat seketika, saya tiba-tiba gugup fikir macam-macam. Bagaimanapun, saya kemudian menyertai Mercy Malaysia untuk membantu golongan susah.

"Saya sedar, waktu paling sukarlah waku tepat untuk kita menderma dan berkongsi rezeki dengan golongan kurang bernasib baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2020 @ 6:18 AM