SUAMI Nad mahu seorang lagi tahun depan kerana usia sudah 30 tahun.
SUAMI Nad mahu seorang lagi tahun depan kerana usia sudah 30 tahun.
Sudirman Mohd Tahir


KEHADIRAN cahaya mata sulung, Fahad Ibrahim yang kini berusia dua tahun enam bulan menjadi pelengkap rumah tangga pelakon Nad Zainal dan suami, Muhammad Faliq Amirullah sejak empat tahun lalu.

Meski mempunyai perancangan menambah anak, Nad, 29, atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin berkata, waktu sesuai ke arah itu adalah tahun depan.

“Ada perancangan nak tambah. Ikutkan suami nak secepat mungkin tetapi saya masih ada beberapa impian yang mahu didahulukan.

“Jika tanya suami, dia nak tahun depan ada seorang lagi anak memandangkan usia sudah 30 tahun.

“Mungkin paling cepat tahun depan. Ketika itu Fahad sudah tiga tahun. Jadi, sedang eloklah dapat adik,” katanya.

Nad berkata, buat masa sekarang dia masih belum puas memanjakan anaknya kerana terikat dengan jadual kerja yang padat.

Justeru, bagi menghilangkan rasa bersalah dalam diri, Nad mengambil pendekatan membelikan barang permainan setiap kali terpaksa meninggalkan Fahad.

Namun begitu, Nad mengakui suami tidak setuju dengan cara itu kerana tidak mahu memanjakan anak mereka.

“Saya anak tunggal dalam keluarga. Suami pula anak bongsu. Apabila saya ada anak, ia sangat mengujakan. Dalam masa sama, saya pernah berasa tertekan sebab kena pergi bekerja dan meninggalkan anak.

“Hinggakan saya menyalahkan diri sendiri sebab tidak dapat meluangkan lebih banyak masa dengannya.

“Tapi, kalau tidak bekerja mana nak dapat duit. Perkara sebegitu yang membuatkan saya berfikir.

“Jadi, apa saya buat adalah bawa dia keluar berjalan-jalan dan belikan permainan jika ada masa terluang.

“Suami pula selalu cakap tak bagus jika ajar dan manjakan anak dengan cara sebegitu.

“Sebab nanti, kalau tak dapat sesuatu dia akan minta barang. Ini sikap yang saya cuba buang sekarang. Saya buat semua itu sebab rasa bersalah tinggalkannya,” katanya.

Dalam masa sama Nad berkata, tindakannya dianggap perkara biasa dan kebanyakan ibu bapa sekarang melakukan perkara sama terhadap anak mereka.

“Ibu bapa saya pula cakap ia perkara biasa. Saya bekerja pun untuk dia. Macam saya dulu pun, mak ayah buat begini. Malah, kebanyakan ibu bapa sekarang macam ini.

“Dalam masa sama, suami ada cakap jika itu boleh hilangkan rasa beban dan bersalah saya, tidak mengapa kalau nak buat juga,” katanya.

Berkongsi mengenai karier, Nad yang juga pemenang Pelakon Wanita Terbaik Drama Anugerah Skrin 2018 tidak pernah meletakkan sebarang syarat dalam lakonan.

Biarpun selepas memiliki anak, apa yang penting bagi Nad kerjasama semua pihak dalam memastikan kelancaran kerja.

NAD masih belum puas memanjakan anaknya kerana  terikat dengan jadual kerja yang padat.
NAD masih belum puas memanjakan anaknya kerana terikat dengan jadual kerja yang padat.

“Saya tak pernah letakkan syarat. Kalau balik lambat disebabkan faktor cuaca, saya boleh terima.

“Sebab ia tidak boleh dijangka. Namun, kalau pada hari itu semua lancar dan kru pula buat sambil lewa, saya akan bising juga.

“Sejak ada anak, tak pernah lagi balik terlalu lewat hingga jam tiga atau empat pagi. Macam suami pun, dia okay. Tapi, dia akan mula hubungi saya kalau jam 12 malam belum pulang,” katanya.

Nad turut berkongsi akan membawa anak bersama jika penggambaran dilakukan di luar kawasan.

“Saya tak suka menyusahkan orang. Kalau ada babak di luar kawasan, saya sewa sendiri penginapan. Saya akan maklumkan perkara ini kepada produksi.

“Jadi, saya akan bawa bersama suami, anak dan mak. Tidaklah saya berasa terlalu lama tinggalkan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2019 @ 4:31 AM