NAD tetap berterima kasih kepada peminat di sebalik ancaman kerana watak antagonis.
NAD tetap berterima kasih kepada peminat di sebalik ancaman kerana watak antagonis.
Zaara Talita


Kemampuan Nad Zainal, 32, menghayati watak tidak boleh disangkal. Ramai pelakon baharu atau yang seangkatan dengannya menjadikan dia sebagai inspirasi dan penanda aras.

Watak Kirana sebagai wanita perampas dalam drama Dendam Seorang Isteri berjaya melonjakkan nama Nad menjadi lebih hangat.

Berilah apa saja watak, semuanya pasti dijayakan sebaik mungkin sehingga meninggalkan kesan di hati penonton.

Sejak awal kemunculan, Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin bekerja keras dalam memberikan lakonan terbaik dalam setiap karya yang dilakonkan.

Antara ancaman diterima pelakon cantik ini hanya kerana watak antagonis yang dilakonkannya menjadi dan memberi kesan kepada emosi penonton sehingga ada mendoakan supaya dia mati.

Nad berkata, perkara itu sudah menjadi satu kebiasaan yang dihadapinya sebagai seorang pelakon.

Bagaimanapun, dia tetap berterima kasih kerana penonton menghargai lakonan walau dengan cara apa sekalipun.

"Memanglah kemarahan mereka ditujukan kepada watak itu, tetapi kadangkala, mereka tak guna nama watak, sebaliknya nama saya. Takut juga, sebab orang mendoakan benda begitu.

"Tetapi pada masa sama, saya gembira. Mereka terbawa-bawa emosi itu. Apabila berjumpa penonton, ramai yang akan sapa saya dengan nama watak.

"Saya rasa disayangi, walaupun ada dalam kalangan mereka yang geram dengan lakonan saya, mereka tetap gembira.

NAD amat mensyukuri nikmat yang diberikan dan tidak sesekali mengambil ringan kerja lakonan.
NAD amat mensyukuri nikmat yang diberikan dan tidak sesekali mengambil ringan kerja lakonan.

"Tak kisahlah. Terbawa-bawa emosi itu perkara biasa. Saya pun suka menonton drama di TV. Jadi saya faham perasaan mereka," katanya.

Meletakkan seluruh jiwa kepada watak yang diberikan, Nad mengakui suaminya turut terpalit dengan watak yang sedang dijayakannya.

"Jika tanya kepada saya, semestinya saya rasakan biasa saja. Tidaklah sehingga memberi impak terhadap kesihatan mental atau sebagainya. Cuma suami yang pernah 'bersuara' secara tidak sengaja.

"Dia (suami) tanya apa naskhah selepas ini yang bakal saya jayakan, apabila saya kongsikan dia mengeluh. Katanya, 'angin' watak itu sedikit sebanyak pasti ada," katanya.

Nad mendirikan rumah tangga bersama pengurusnya Muhammad Faliq Amirullah pada 18 Disember 2015.

Mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Fahad Ibrahim, 6, dan Budi Kalsom yang kini memasuki usia setahun.

Dalam pada itu, Nad memberitahu lakonan adalah punca rezeki yang menampung kehidupan dia dan keluarga. Oleh itu, dia amat mensyukuri nikmat yang diberikan dan tidak sesekali mengambil ringan kerja lakonan.

"Semua pelakon sama, setiap tawaran yang diberikan, semua nak berikan yang terbaik. Kalau boleh tak mahu watak sama, tak nak stereotaip. Bukan saya saja, mana-mana pelakon pun akan risau.

SETIAP drama lakonan Nad memberikan impak terhadap penonton.
SETIAP drama lakonan Nad memberikan impak terhadap penonton.

"Ini adalah punca rezeki. Kalau watak tak menjadi, orang akan tengok siapa pelakon itu, kemudian baru pengarah. Bukan terus ke skrip.

"Pelakon yang bagus dapat menyelamatkan cerita. Tak kisahlah apa juga watak yang diberikan, saya mesti nak buat sehabis baik. Orang dah bayar kita. Ini punca rezeki saya. Saya kena jaga periuk nasi," katanya.

Dalam perkembangan lain, Nad sekali lagi bakal muncul dalam drama terbitan Radius One iaitu Cina Buta untuk siaran Slot Mega Drama Astro.

Selain Nad, drama berkenaan turut membariskan Ungku Ismail selaku teraju utama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2022 @ 6:30 AM