NAD sekeluarga.
NAD sekeluarga.
Sudirman Mohd Tahir


KREDIBILITI pelakon Nad Zainal dalam melakonkan sesuatu watak tidak perlu disangkal lagi. Malah, tidak dinafikan dia menjadi rebutan kebanyakan penerbit dan pengarah untuk bekerjasama dengannya.

Kemunculannya menerusi drama bersiri Takdir Yang Tertulis yang ditayangkan beberapa bulan lalu di TV3 membuktikan lagi kehebatan dirinya apatah lagi ketika itu dia sedang hamil anak kedua.

Sambutan hebat diberikan penonton terhadap drama dan lakonan Nad Zainal membuatkan dia tidak menang tangan menerima tawaran berlakon biarpun ketika itu belum bersalin.

Namun, Nad yang selamat bersalin anak kedua iaitu bayi perempuan yang diberi nama Budi Kalsom pada 31 Mac lalu mengaku masih dalam dilema untuk menerima tawaran berlakon buat masa sekarang.

Nad, 31, atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin berkata, dia sepatutnya memulakan penggambaran pada hujung bulan ini.

"Sebenarnya ikutkan saya bekerja semula pada hujung bulan Mei tapi saya masih tak tahu lagi nak ambil tawaran itu atau tidak. Buat masa sekarang, masih atas pagar lagi.

"Tak tahu nak ambil ke tidak sebab kalau boleh saya nak Kalsom usia empat bulan ke atas baru saya mula kerja semula. Saya tengok juga tawaran karekter yang diberikan.

"Macam baru-baru ini, saya ditawarkan dengan satu karekter yang menarik juga tapi saya masih fikirkan lagi sebab nak ikut Kalsom besar sikit. Mungkin saya perlu bertahan lagi empat bulan.

NAD bersama anak keduanya, Budi Kalsom.
NAD bersama anak keduanya, Budi Kalsom.

"Ikutkan hati, memang nak sangat mula kerja. Cuma, sekarang pun kita dengan keadaan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 nampak gaya macam susah penggambaran nak dijalankan,"katanya.

Suami banyak bantu

Berkongsi kehidupan sebagai ibu kepada dua cahaya mata, Nad berkata ia bukanlah satu tugas yang mudah.

Dalam masa sama, Nad bersyukur kerana mempunyai seorang suami dan keluarga yang banyak membantu.

Selepas dua bulan melahirkan cahaya mata kedua, Nad berkongsi anak perempuannya itu mudah untuk dijaga kerana tidak banyak ragam.

Kehadiran anak kedua itu juga membuatkan anak sulungnya iaitu Fahad Ibrahim berasa teruja malah hampir setiap hari bertanyakan bila adiknya mahu membesar.

"Apabila sudah dua orang anak, sudah tentu saya bertambah sibuk. Tapi Alhamdulillah, saya ada keluarga dan suami yang banyak membantu. Jadi, semuanya dipermudahkan.

"Alhamdulillah, 'baby girl' sangat baik, senang nak jaga dan tak banyak ragamnya. Yem (anak pertama) pun tak ada tunjuk tanda protes sejak ada adik. Cuma kalau kita puji adik, kena puji dia sekali.

NAD Zainal mula diintai penerbit, pengarah selepas melahirkan anak kedua.
NAD Zainal mula diintai penerbit, pengarah selepas melahirkan anak kedua.

"Tapi dia memang sangat gembira dengan kehadiran adik. Tapi kadang-kadang dia tak faham dan tanya bila adik nak besar. Boleh katakan setiap hari dia akan ukur ketinggian adik dia sebab tak sabar nak bermain bersama," katanya.

Nad mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Faliq Amiruddin pada 18 Disember 2015 dan mempunyai seorang lagi anak (Fahad) yang berusia lima tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Mei 2021 @ 7:00 AM