RUFFEDGE ketika majlis pelancaran Kelab Sahabat Ruffedge di Avenue K. -Foto ROSELA ISMAIL
RUFFEDGE ketika majlis pelancaran Kelab Sahabat Ruffedge di Avenue K. -Foto ROSELA ISMAIL
Ramlah Zainal


KUMPULAN Ruffedge melancarkan kelab peminat mereka buat pertama kalinya selepas dua dekad pembabitan mereka dalam industri muzik tanah air.

Kelab peminat yang dikenali sebagai Kelab Sahabat Ruffedge itu ditubuhkan peminat setia kumpulan itu sejak dulu.

Anggota kumpulan itu, Azan, 44, berkata, mereka bersyukur kerana masih mendapat sokongan peminat lama dan baru walaupun kemunculan ramai bakat baru yang mewarnai industri muzik tanah air ketika ini.

“Sebenarnya, pada era kegemilangan Ruffedge dulu memang ada pihak yang mahu menubuhkan kelab peminat tetapi tidak menjadi kenyataan ketika itu. Namun, selepas Ruffedge kembali aktif tahun lalu dan meraikan ulang tahun ke-20, ada peminat yang mencadangkan untuk penubuhan kelab Sahabat ini.

“Selepas berbincang dan mereka beritahu objektif penubuhan kelab ini, kami bersetuju dan menyokong penubuhanny dan ia dilancarkan secara rasmi hari ini,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Kelab Sahabat Ruffedge yang berlangsung di Avenue K, Kuala Lumpur, hari ini.

Selain Azan, Ruffedge dianggotai Cat Farish, Zain Hamid, Mode, Amer Munawer dan Syed Hussein.

Mengulas mengenai Kelab Sahabat itu, kata Syed Hussein atau Sein pula, ia membuktikan

Ruffedge masih relevan dalam industri muzik.

“Bukan saja ahli Kelab Sahabat ini adalah peminat yang membesar dengan kumpulan ini sejak dulu.Malah, ada ahli kelab yang masih muda dan golongan kanak-kanak,” katanya.

Pada masa sama, kata Sein, penubuhan Kelab Sahabat juga bukan sekadar kelab peminat semata-mata.

“Pihak kami juga tidak mensasarkan berapa ramai keahlian ahli kelab peminat itu. Pelbagai aktiviti dirancang untuk mengeratkan hubungan antara Ruffedge dan ahli kelab sekali gus mengeratkan hubungan sedia ada.

“Ia juga membabitkan penjualan barangan cenderahati kumpulan Ruffedge dan sebagainya lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2019 @ 9:17 PM