RANCANG buat single demi single terlebih dahulu sebelum album penuh.
RANCANG buat single demi single terlebih dahulu sebelum album penuh.
HM Digital

Selepas 10 tahun menyepi, kumpulan Ruffedge percaya sudah tiba masanya mereka kembali merancakkan industri muzik tanah air.

Selain konsert sulung, Ruffedge tidak hadir dengan tangan kosong apabila mempertaruhkan single terbaru berjudul Seperti Mereka bagi mengubat kerinduan peminat.

Menurut anggota kumpulan itu, Azan Addin pada mulanya lagu berkenaan dihasilkan bagi kawan mereka, Zaid untuk dinyanyikan secara solo tetapi nampaknya ia tidak menyerlah seperti diharapkan.

“Sebenarnya lagu ini menggunakan latar lagu kami sebelum ini iaitu Bila Rindu dan ia lebih sesuai dinyanyikan secara berkumpulan.

“Oleh itu, apabila anggota Ruffedge bertemu dan merancang buat ‘comeback’, kami putuskan untuk menggubah semula lagu ini untuk dijadikan single terbaru kami.

“Ternyata lagu genre R&B dan soul ini menepati selera dan jiwa kami,” katanya.

Mengenai album penuh pula, kata Azan, pihaknya merancang buat single demi single terlebih dahulu bagi melihat sambutan peminat.

“Sebelum buat ‘comeback’ memang kami berbincang dengan mereka yang lebih berpengalaman kerana kami sedar kepentingan platform digital ketika ini.

“Ia juga strategi untuk kami terus kekal relevan dan bersaing secara sihat dalam industri.

“Kami juga mengikuti perkembangan media sosial dan teknologi masa kini. Kami percaya media seperti Instagram, Facebook dan YouTube memainkan peranan penting untuk mempromosikan lagu terbaru kepada peminat,” katanya.

Azan ditemui pada sidang akhbar pengumuman istimewa Ruffedge yang berlangsung di Black Box, Publika, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selain Azan, kumpulan itu dianggotai Sein, Zain, Mode dan Cat Farish manakala Amir pula tidak hadir pada sidang media itu.

Diminta mengulas dakwaan kumpulan itu sudah berpecah, Sein menafikannya.

“Walaupun 10 tahun menyepi kerana masing-masing ada komitmen, kami saling berhubung dan bertanya perkembangan sesama anggota malah persahabatan tidak pernah putus.

“Kami juga tidak pernah buat kenyataan Ruffedge sudah berpecah atau dibubarkan sebelum ini.

“Amir juga masih bersama kumpulan ini. Dia tidak hadir pada sidang media kerana ada program di Oman dan akan kembali ke tanah air pada Ramadan nanti,” katanya.

Konsert sulung

Pertemuan pada Jun tahun lalu ternyata mencetuskan idea buat kumpulan Ruffedge untuk kembali aktif menyanyi.

Menurut Sein, mereka juga kembali bersemangat untuk buat ‘comeback’ selepas menjayakan persembahan Anugerah Meletop Era (AME 2018), baru-baru ini.

“Maklum balas peminat sangat memberangsangkan dan ia menyuntik semangat kami untuk kembali aktif.

“Begitu juga maklum balas positif yang diterima ketika kami membuat persembahan pada majlis perkahwinan pasangan Fattah Amin dan Fazura.

“Melihat sambutan itu, kami sebulat suara yakin untuk buat konsert sulung dan single baru pada tahun ini,” katanya.

Bercerita mengenai konsert pula, kata Sein, ia sempena ulang tahun ke-20 Ruffedge dan bakal berlangsung di KL Live Kuala Lumpur jam 9 malam pada 4 Ogos nanti.

“Sebelum ini, kami pernah mengadakan showcase dan ini konsert sulung.

“Buat masa ini, kami menjaga pemakanan dan stamina.

“Konsert yang akan berlangsung dalam tempoh dua jam ini akan menampilkan repertoire popular kami seperti Bila Rindu, Khayalan, Tipah Tertipu, Lemas, Tiada Lagi Cinta dan Da’ Bomb.

“Tiket untuk menyaksikan konsert mula dijual pada 4 Mei pada harga berpatutan daripada RM125 hingga RM233,” katanya.

Untuk keterangan lanjut, hubungi www.ticketpro.com.my. -Ramlah Zainal

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mei 2018 @ 4:59 AM