RUFFEDGE janji peminat akan puas dengan konsert mereka.
RUFFEDGE janji peminat akan puas dengan konsert mereka.
Zaara Taita


Selepas berjaya menawan hati peminat di Singapura dalam konsert Ruffera That Moment In Time yang menampilkan DJ Uno di The Theatre Mediacorp pada 24 Jun lalu, Ruffedge bakal menghiburkan peminat di Malaysia pula dalam konsert di Mega Star Arena, Kuala Lumpur bulan ini.

Dengan mengekalkan DJ Uno sebagai artis undangan, konsert itu menjanjikan alunan muzik di zaman kegemilangan R & B dan hip hop satu ketika dulu.

Dibawakan khas oleh YOLO Malaysia, peminat bukan saja bakal berhibur dengan kumpulan yang sudah bertapak sejak dua dekad itu, malah turut dimeriahkan dengan artis jemputan seperti Lah Ahmad, Distorted dan bakat baru iaitu Zeppo Youngsterz.

Anggota Ruffedge, Sein, 39, berkata, ketika ini mereka sedang melakukan persiapan rapi bagi memastikan konsert berjalan lancar.

Bercerita mengenai pemilihan Lah, Sein berkata, keserasian di antara mereka sudah terjalin sejak dulu lagi.

"Pemilihan Lah sebagai artis undangan khas adalah disebabkan kami mempunyai keserasian dalam persembahan serta kami juga bakal mengeluarkan single bersama Lah.

"Malah, beberapa lagu baru yang bakal dinyanyikan pada konsert itu juga akan dimuatkan dalam album terbaru Ruffedge yang bakal dipasarkan tidak lama lagi," katanya.

Ruffedge yang popular dengan lagu Bila Rindu, Khayalan, Lemas dan Tipah Tertipu ini turut menjanjikan kepuasan peminat sepanjang dua jam konsert itu berlangsung nanti.

Selain Sein, Ruffedge turut dianggotai Cat Farish, Azan, Zain dan Mode.

Cat Farish, 48, berkata, konsert kali ini bukan saja untuk bertemu peminat, tetapi dalam masa sama mempromosikan album yang bakal dikeluarkan tidak lama lagi.

"Konsert ini bukan saja mengimbau kenangan lalu, tetapi bagaimana muzik kami berjaya merentasi masa dan kekal relevan sehingga kini," katanya.

Mereka kini giat menjalani latihan dalam usaha memberikan kepuasan maksima buat penonton nanti.

Menurutnya, konsert itu dijangka berdurasi selama dua jam. Ia turut menampilkan susunan muzik baru dan lebih segar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2023 @ 6:48 AM