ERNIE Zakri. FOTO Instagram Ernie Zakri
ERNIE Zakri. FOTO Instagram Ernie Zakri
Norhayati Nordin


PENYANYI dan guru vokal, Ernie Zakri, 27, nafi dia melakukan suntikan bibir seperti yang didakwa segelintir netizen selepas Ernie muncul dalam satu program hiburan, baru-baru ini.

Ernie yang dihubungi berkata, dia tidak suntik tetapi hanya melukis tebal bibirnya dan perkara itu juga sudah biasa dilakukannya.

“Saya memang suka melukis bibir untuk nampak lebih tebal. Malah, jurusolek yang biasa mendandan saya pun sudah memahaminya.

“Jujur diakui, saya sangat sukakan bibir yang tebal untuk lebih yakin. Tidak ada sebab lain pun yang cuba saya sembunyikan.

“Terus-terang, hingga kini saya masih belum melakukan sebarang rawatan kecantikan seperti suntikan cantikkan bibir yang didakwa itu.

“Saya belum terdesak untuk tampil cantik hingga sanggup berbuat begitu (lakukan suntikan). Saya tegaskan, hanya lukis tebalkan bibir saja,” katanya.

Terdahulu, bibir Ernie kelihatan pelik dan nampak agak tebal dan seperti bengkak ketika dia muncul dalam program hiburan berkenaan.

Mengulas juga mengenai penampilannya yang semakin jadi perhatian, Ernie memberitahu dia sangat berterima kasih dengan tumpuan diberi.

“Apa yang pasti, saya tidak bertujuan untuk menagih perhatian peminat. Saya suka tampil dengan apa gaya digemari.

“Cuma, saya sedar apabila diri semakin dikenali sepatutnya lebih berhati-hati dalam penampilan kerana ia menjadi perhatian.

“Setakat ini, saya ambil sikap positif untuk terima apa saja komen diberikan pengikut di Instagram (IG) selagi

tidak mengguris hati,” katanya.

Menurut penyanyi lagu Jangan Marah ini, dia juga sudah memberikan penjelasan kepada pengikutnya di media sosial berhubung dakwaan ‘bibir tebal’ berkenaan.

Ernie atau nama sebenar Nur Ernie Shahirah Zakri mula jadi perhatian peminat selepas tampil sebagai rakan duet penyanyi Syamel menerusi lagu Aku Cinta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 11:44 AM