PROJEK istimewa melalui lagu Masing Masing bersama Ade Govinda berjaya merentas sempadan. FOTO Aziah Azmee
PROJEK istimewa melalui lagu Masing Masing bersama Ade Govinda berjaya merentas sempadan. FOTO Aziah Azmee
Syafil Syazwan Jefri


Rezeki setiap manusia sudah disusun baik oleh Yang Maha Esa. Maka, kita sebagai hamba-Nya menjalani setiap urusan yang sudah diatur mengikut aturannya.

Begitulah juga rezeki buat perjalanan karier seni penyanyi, Ernie Zakri yang kini sudah mula mencipta nama sekali gus membanggakan industri muzik Malaysia di negara jiran, Indonesia.

Berkesempatan bertentang mata dengan penyanyi berusia 32 tahun ini, dia berkongsi bagaimana projek kerjasamanya dengan pemuzik Indonesia, Ade Govinda menghasilkan lagu berjudul Masing Masing berjaya membawa namanya merentas sempadan.

"Alhamdulillah, sebenarnya, projek ini adalah satu projek yang sangat istimewa. Sememangnya, apabila kita buat sesuatu projek terutamanya yang membabitkan pengkarya dari luar Malaysia, saya dan pasukan Universal Music Malaysia cuba rancang yang terbaik.

"Maksudnya, selagi lagu ini dapat memberi perhatian kepada semua pendengar, kita cuba sehabis mungkin untuk promosikan lagu ini.

SAYAP seni Ernie Zakri semakin lebar di Indonesia. FOTO Aziah Azmee
SAYAP seni Ernie Zakri semakin lebar di Indonesia. FOTO Aziah Azmee

"Alhamdulillah, kerja keras kami berhasil juga. Saya tidaklah mengatakan lagu ini sudah terlalu berjaya, tapi ia sedang menapak di halwa telinga pendengar dan itu semua adalah satu benda yang saya syukuri sangat," katanya.

Menurut Ernie, keberadaan lagu Masing Masing di bibir peminat muzik Indonesia juga bukan satu proses mudah. Namun, dia bersyukur kerana langkah kecilnya berjaya membawa hasil mengagumkan.

"Untuk berada di dalam carta radio di Indonesia pun, kita sendiri tahu agak sukar sebenarnya sebab saya sendiri pun sudah pergi ke sana.

"Selepas beberapa kali di sana, mereka mula sedar kewujudan saya di sana. Alhamdulillah, perlahan-lahanlah.

"Saya tidak mengatakan yang apa yang saya lakukan ini sudah menjadi satu kejayaan, tapi ia menjadi satu langkah untuk saya cuba lagi mengembangkan apa yang perlu dikembangkan di sana.

"Insya-Allah, semoga usaha ini memberi ruang dan peluang kepada kita semua pengkarya di Malaysia untuk melebarkan sayap kita di sana," katanya.

Menurutnya, usaha dan tuah bergabung tanaga menjadikan kerja kerasnya berbaloi.

"Saya tak ada tips atau apa. Alhamdulillah, rezeki saya, saya dibantu oleh syarikat rakaman yang percaya, apa yang boleh saya berikan kepada peminat-peminat di Indonesia.

"Ia tuah juga dan hasil kerjasama Universal Music Malaysia dan Indonesia yang seperti sebuah keluarga. Ini sebenarnya salah satu rezeki saya.

"Kalau dapat berada di sana, yang terbaik sekali adalah menjadi diri sendiri sebab mereka di sana pun lebih kurang sama dengan kita.

"Cumanya, muzik mereka lebih luas. Saya merasakan kita ada 'vibe' yang sama. Jadi diri sendiri dan percaya dengan genre yang kita bawakan," katanya.

Ditanya mengenai perancangan masa hadapan untuk karier seninya di Indonesia, Ernie berkata, dia dan syarikat rakaman merancang beberapa agenda yang masih belum boleh dihebahkan.

"Sebenarnya, ada beberapa rancangan bersama Universal Music untuk saya rakamkan lagu di sana, dan untuk cari lagu-lagu yang dicipta oleh komposer di sana.

"Ada beberapa usaha. Pada saya, ia ambil masa. Umur saya dah 32, jadi saya harus segera menyelesaikan apa yang patut. Itu antara rancangan yang kami cuba hasilkan.

"Ada juga beberapa rancangan (kerjasama dengan penyanyi Indonesia) yang saya tak mahu sebut nama dahulu. Ada beberapa penyanyi antaranya penyanyi wanita yang kami sama-sama berminat untuk bekerjasama.

"Doakan semoga tahun depan, menjadi tahun yang baik buat saya juga. Insya-Allah. Salah satu impian saya adalah untuk bekerjasama dengan Raisa, Isyana Sarasvati, Tiara Andiri, Mahalini, Afgan, Judika dan ramai lagi," katanya.

Siapa sangka, kehadirannya di sana juga turut disambut baik sehingga wujudnya kelab peminat, Ernienators Indonesia.

"Alhamdulillah, dapat juga DM daripada peminat dari sana yang beri perhatian kepada lagu Masing Masing. Sebenarnya, lagu ini rezeki saya.

"Ia permulaan yang baik dan ada juga kelab peminat yang baru ditubuhkan di sana, Ernienators Indonesia, sejak dua bulan lalu. Tak ramai, tapi Alhamdulillah," katanya.

Ernie juga turut mengambil peluang itu untuk mengucapkan terima kasih kepada Bella Astillah dan Adira yang menyanyikan semula lagu Masing Masing secara cover.

"Sebenarnya, lagu ini semakin dikenali juga selepas dinyanyikan versi cover oleh Bella dan Kak Adira. Ia turut membantu lagu ini.

"Saya bersyukur sebab itu tujuan lagu itu sebenarnya, untuk memberi kekuatan kepada semua orang yang rasa diri mereka dilukai. Jadi, ia digunakan dengan baik. Syukur," katanya.

Baru-baru ini, Ernie Zakri mengungguli carta radio Gen 98.7 FM di Indonesia menerusi lagu Masing Masing dan diberikan pengiktirafan di Majlis Sumbangan Rahmah Industri Muzik 2024 (SRIM) yang berlangsung baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 7:00 AM