ERNIE atau nama sebenarnya, Nur Ernie Shahirah Zakri. FOTO/NUR ADIBAH AHMAD IZAM
ERNIE atau nama sebenarnya, Nur Ernie Shahirah Zakri. FOTO/NUR ADIBAH AHMAD IZAM
Norhayati Nordin

SELEPAS lapan tahun berusaha, kini penyanyi Ernie Zakri, 26, mampu tersenyum bangga dengan kejayaan diraihnya.

Jika dulu dia pernah terkial-kial mencari arah tuju perjuangan karier seninya, sekarang ia semakin jelas.

Ernie menzahirkan rasa syukur dengan apa yang ada dalam genggamannya selepas puas mencuba dan tidak berputus asa.

“Jika dikenang kembali perjalanan berliku saya dulu, ternyata bukan mudah untuk berada di tahap ini.

“Pernah langsung tiada tawaran menyanyi untuk tempoh yang lama dan saya hanya menghabiskan masa di rumah.

“Jadi, apabila rezeki semakin murah saya kenalah bersyukur dan menghargainya.

“Meski jadual kerja dan aktiviti padat, saya tidak akan sesekali mengeluh penat,” katanya.

Menurut Ernie, selain menyanyi dia tidak menjangka karier sebagai guru vokal turut mendapat perhatian ramai.

“Anak didik saya bukan saja dalam kalangan mereka yang minat menyanyi tetapi turut disertai rakan penyanyi lain.

“Sokongan rakan artis banyak membantu saya. Terima kasih kepada mereka,” katanya.

Sedia berkongsi ilmu, Ernie berkata banyak perubahan dapat dilihat dalam kembara seninya.

“Kalau dulu, saya lebih kepada menyanyi secara solo tetapi sekarang sudah ada rakan duet serasi iaitu Syamel.

“Ternyata, gandingan kami yang bermula menerusi program realiti TV, Duo Star pada 2016 hingga kini diterima baik peminat.

“Malah, single duet Aku Cinta nyanyian saya dan Syamel juga melayakkan kami memenangi Vokal Terbaik pada Anugerah Juara Lagu Ke-32 (AJL 32) lalu,” katanya.

Berbicara mengenai single terbaru, Ernie berkata dia akan merakamkan lagu solo ciptaan Syamel.

Bukan hanya itu, Ernie atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri turut memberitahu dia dan Syamel bakal muncul dengan lagu duet baru.

“Terus terang, saya sangat berterima kasih kepada peminat yang menyokong karier seni saya hingga ke hari ini.

“Saya terima apa saja pandangan dan kritikan peminat dengan tenang, positif dan bersikap terbuka,” katanya.

Segala urusan membabitkan karier nyanyian Erni dikendalikan syarikat Rocketfuel.

ERNIE semakin berani.
ERNIE semakin berani.

Semakin berani

Seiring dengan kematangan dirinya sebagai anak seni, Ernie juga dilihat sangat peka dengan penampilan dan gaya ketika menjayakan persembahan.

Terbaru, ketika beraksi di pentas program realiti TV Mentor 7 di TV3, Ernie muncul dengan gaya retro unik dan mempesonakan

Katanya dia memang suka mencuba gaya yang difikirkan sesuai. Bahkan, gaya retro unik itu pernah ditampilkan dalam majlis anugerah dihadirinya sebelum ini.

Mengulas mengenai dirinya yang dianggap semakin berani mencuba, Ernie berkata sebagai selebriti, sewajarnya dia menitikberatkan penampilan.

“Saya suka belajar dan pengalaman sangat membantu. Apatah lagi, sebagai wanita kena tahu perkembangan fesyen.

“Saya sebenarnya tidak sangka gaya retro unik yang ditampilkan ketika membuat persembahan di pentas Mentor 7 diterima baik penonton.

“Ramai juga pengikut di Instagram (IG) saya menghantar mesej memuji gaya itu sangat mempesona.

“Terima kasih kepada peminat dan penyokong yang nampaknya kini semakin menerima bakat saya,” katanya.

Menurut Ernie, dengan ada sokongan berterusan peminat dia semakin bersemangat untuk memantapkan kerjaya seni.

Katanya, ditambah dengan dorongan keluarga, ini adalah masa tepat untuknya melipatgandakan usaha agar bukan saja dikenali di negara sendiri tetapi juga di negara jiran.

Namun, tatkala ditanya soal jodoh Ernie berkata dia tidak akan berselindung apabila sudah bertemu calon pilihan hati.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 November 2018 @ 6:01 AM