Syamel & Ernie Zakri. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Syamel & Ernie Zakri. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Norhayati Nordin


GURU vokal dan penyanyi, Ernie Zakri, 26, tidak terkilan apabila populariti dikecapnya kini masih terus dikaitkan dengan penyanyi, Syamel.

Ernie berkata, dia mengakui perkara itu kerana mula jadi perhatian selepas berganding dengan Syamel dalam program Duo Star pada 2016 lalu.

“Biarpun nama dan bakat nyanyian saya mula diterima pendengar menerusi single Jangan Marah pada tahun sama, tetapi gandingan duo bersama Syamel mengukuhkannya lagi

“Malah, selepas berjaya muncul sebagai juara Duo Star, kami bergandingan lagi dengan merakamkan single duet Aku Cinta.

“Gandingan saya dan Syamel sekali lagi berjaya apabila kami memenangi Vokal Terbaik di Anugerah Juara Lagu Ke-32 (AJL 32) pada Februari lalu,” katanya

Ernie atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri berkata, dia juga akur hubungan rapat dengan Syamel turut menjadi perhatian ramai.

“Biarpun status hubungan kami sebenarnya adalah kawan rapat, tetapi saya sentiasa bersikap positif terhadap apa saja tanggapan peminat.

“Bahkan, apabila kami dikaitkan ada hubungan istimewa pun saya tidak melatah kerana sedar ia lumrah kehidupan sebagai selebriti.

“Saya tahu masyarakat bukan hanya ambil peduli pada perkembangan kerjaya sebaliknya hal membabitkan peribadi juga jadi perhatian.

“Untuk saya, selagi tidak menjatuhkan maruah diri dan nama baik keluarga, semestinya diterima dengan tenang dan bersikap terbuka,” katanya.

Mengulas hubungan rapat dengan Syamel, Ernie berkata, mereka sering dilihat bersama kerana bernaung di bawah syarikat pengurusan Rocketfuel.

“Sekarang, segala urusan kerjaya nyanyian saya mahu pun Syamel, diuruskan oleh Rocketfuel. Jadi, memang kami selalu berjumpa.

“Bahkan, saya juga akan merakamkan satu single solo baru hasil ciptaan Syamel tidak lama lagi selain kami bakal muncul dengan lagu duet,” katanya.

Apa yang pasti, selain kerjaya nyanyian yang semakin menambat hati pendengar, Ernie juga menjadi buruan ramai yang ingin belajar vokal dengannya.

Ernie berkata, selepas lapan tahun dia berusaha tanpa jemu untuk menempatkan dirinya dalam industri hiburan tanah air, kini baru membuahkan hasil.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 November 2018 @ 5:01 PM