BERADA di pentas AJL32 dianggap rezeki selepas diimpi sekian lama.
BERADA di pentas AJL32 dianggap rezeki selepas diimpi sekian lama.
Norhayati Nordin


Selepas lapan tahun berusaha, baru kini membuahkan hasil dan memberi impak sinar dalam karier penyanyi, Ernie Zakri, 26.

Lebih bermakna lagi buat guru vokal ini apabila lagu duetnya, Aku Cinta bersama Syamel berjaya bertanding di pentas Anugerah Juara Lagu 32 (AJL32) bulan depan.

Mengulas mengenai harapan diletakkan peminat terhadap lagu Aku Cinta yang dianggap ada peluang menang kategori Vokal Terbaik, Ernie berkata, dia berterima kasih di atas doa itu.

“Jauh di sudut hati saya, memang tidak memikirkan langsung soal kemenangan kerana ia ketentuan Allah SWT.

“Apa yang saya dan Syamel harapkan ialah doa peminat supaya kami berada dalam keadaan kesihatan yang baik,” katanya.

Ernie atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri mula berjaya memikat hati pendengar muzik tanah air dengan single Jangan Marah.

Apa pun, katanya perkara yang sangat diutamakannya ialah penjagaan kesihatan kerana ia mampu mempengaruhi vokal seseorang penyanyi.

Menurut anak bongsu ini, berada di pentas AJL32 adalah satu rezeki tidak diduganya yang sudah diimpikan sekian lama.

“Sebenarnya setiap tahun saya menyimpan impian semoga suatu hari nanti akan mendapat peluang bertanding di pentas AJL.

“Bagaimanapun, saya tidak menyangka Allah memakbulkan impian saya pada tahun ini di AJL32,” katanya.

Menurut Ernie, dia akan berusaha memberikan persembahan yang terbaik pada malam kemuncak itu nanti.

“Saya tahu menang atau kalah adat bertanding. Namun, saya yakin aksi pada malam kemuncak AJL32 adalah penentu kemenangan.

“Oleh itu, saya dan Syamel akan pastikan kami dapat mempersembahkan lagu Aku Cinta dengan baik.

“Selebihnya, itu rezeki dan apa saja keputusan kami bersikap positif dan menerima dengan hati terbuka,” katanya.

Melihat permulaan 2018 yang baik buat karier seninya, Ernie berkata, dia juga akan muncul dengan single solo terbaru tidak lama lagi.

Memilih genre pop balada, Ernie berkata, single yang bakal menjadi taruhannya itu adalah hasil ciptaan Gouffran dan lirik ditulis Sang Hitam.

Selain itu, baru-baru ini Ernie berjaya menarik perhatian netizen di Instagram selepas memuat naik video lagu Hindi nyanyiannya.

Lagu Hindi popular filem Kuch Kuch Hota Hai diakui Ernie adalah antara lagu Hindi yang diminatinya.

“Saya tidak sangka video lagu Hindi itu berjaya mendapat maklum balas yang baik daripada netizen.

“Saya memuat naik video nyanyian itu kerana minat menyanyi lagu Hindi. Apatah lagi, saya sudah meminatinya sejak kecil,” katanya.

Ernie yang pernah belajar menyanyi dengan seorang guru India berkata, dia sangat suka mencuba.

Katanya, apa yang cuba dipersembahkan dalam video nyanyian itu ialah bakat dimiliki untuk dinilai pendengar dan peminat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 January 2018 @ 7:08 AM