KAKA Azraff ketika hadir pada perlancaran lagu tema dan video muzik Gol & Gincu 2 di Pusat membeli-belah Pavillion. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
KAKA Azraff ketika hadir pada perlancaran lagu tema dan video muzik Gol & Gincu 2 di Pusat membeli-belah Pavillion. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Ridzuan Abdul Rahman


PENYANYI Kaka Azraff mengakui terlalu gembira dapat mengulangi langkah ibu saudaranya, Ella apabila terpilih menyanyikan lagu runut bunyi untuk filem Gol & Gincu Vol 2 yang berjudul Shout It Out ciptaan komposer Audi Mok.

Pada edisi pertama filem Gol & Gincu arahan Bernard Chauly yang dihasilkan pada 2005, Ella menjadi pilihan menyanyikan lagu Teruja.

"Bayangkanlah kerana terlalu teruja, saya terlupa langsung nak beritahu 'aunty' berkenaan perkara ini.

"Tapi apabila lagu ini sudah dimainkan, saya percaya dia pasti akan tahu sendiri. Tak dinafikan saya berasa amat bertuah apabila dipilih menyanyikan lagu ini.

"Ini kerana saya sendiri amat menyukai lagu-lagu yang dimuatkan dalam album Gol & Gincu, namun saya tak pernah terfikir dan terbayang akan terbabit untuk album Gol & Gincu Vol 2 ini," katanya.

Kaka mengambil masa selama dua hari untuk memahami lagu berkonsep 'catchy dan fun'

ini sebelum proses rakaman yang mengambil masa hanya satu jam di studio.

"Sebenarnya ketika waktu rakaman pun saya masih teringatkan lagu Teruja. Sudah 13 tahun berlalu dan sekarang giliran saya pula terbabit dengan filem ini," katanya.

Kaka, 29, turut mendedahkan pernah hadir ke uji bakat untuk membintangi filem ini tetapi malangnya tidak berjaya.

"Saya memang minat Gol & Gincu kerana perwatakan saya juga agak tomboi dan sesuai membawakan karakter dalam filem itu.

"Cuma tiada rezeki saya dan watak itu akhirnya jadi milik Diana Danielle. Pada saya Diana berjaya melakonkan watak itu dengan cemerlang.

"Jodoh saya dengan filem ini tetap ada kerana dipilih menyanyikan lagu tema. Ia dikira satu penghargaan terhadap karier saya," katanya.

Filem terbitan Red Films dan arahan Umi Salwana Omar ini akan menemui penonton pada bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 September 2018 @ 5:10 PM