SLANK mempamerkan persembahan menghiburkan dalam Konsert 4 Dekad Slank di Zepp Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
SLANK mempamerkan persembahan menghiburkan dalam Konsert 4 Dekad Slank di Zepp Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
Riadz Radzi


Ketika Konsert 4 Dekad Slank di Zepp Kuala Lumpur baru-baru ini, tertera pelekat bertulis 'Slank Nggak Ada Matinya' di 'bass dram' kumpulan rock popular Indonesia itu.

Dalam bahasa Malaysia, maksudnya Slank tidak akan berkubur. Kumpulan yang dianggotai Kaka (penyanyi), Bimbim (dram), Ridho (gitar), Abdee Negara (gitar) dan Ivanka (bass) itu akan terus aktif berkarya sampai bila-bila.

Walaupun pernah mengalami perpecahan apabila tiga anggotanya, Pay (gitar), Bongky (bass) dan Indra Qadarsih (keyboard) meninggalkan Slank pada 1996, tetapi semangat dan muzik mereka terus padu dengan kemasukan Ridho, Abdee dan Ivanka.

Apabila difikirkan, terbit juga rasa cemburu dengan rockers dari Jakarta itu.

Mereka terus bertahan selama empat dekad sebagai kumpulan rock legenda Indonesia. Malah terus aktif mengadakan konsert jelajah seluruh Indonesia termasuk di Malaysia dan Singapura.

Situasi yang sudah jarang berlaku dalam industri muzik tanah air terutama muzik rock. Yang kerap berlaku cuma konflik hingga membawa kepada perpecahan dan berebut nama kumpulan!

Memetik kata-kata Bimbim selaku pengasas dan ketua kumpulan Slank kepada media Malaysia baru-baru ini, adalah penting bagi setiap anggota kumpulan untuk menyimpan impian dan cita-cita yang sama.

Katanya, sikap adil dan saksama sesama mereka adalah kunci Slank dapat bertahan selama 40 tahun.

"Kami memiliki impian yang sama. Kami juga adil dan memberi sama rata. Kelompok yang sama itu juga perlu berkarya. Itu yang membuatkan kami bertahan hingga hari ini," katanya.

Sikap dan semangat ini yang mengukuhkan lagi kata-kata 'Slank Nggak Ada Matinya' itu.

Slank Nggak Ada Matinya juga adalah judul filem mengenai Slank yang ditayangkan pada 24 Disember 2013.

Ia dibintangi Adipati Dolken, Ricky Harun, Ajun Perwira, Aaron Ashab, Deva Mahenra dan anggota Slank sendiri yang membawa watak sampingan.

PADUAN suara Kaka dan Ella ketika menyanyikan lagu berentak ala dangdut. FOTO Aizuddin Saad
PADUAN suara Kaka dan Ella ketika menyanyikan lagu berentak ala dangdut. FOTO Aizuddin Saad

Filem itu turut membabitkan ribuan Slankers atau peminat setia Slank.

Walaupun bertaraf legenda di Indonesia, tetapi populariti Slank di Malaysia tidak sehebat di tanah air mereka. Di sini mereka tidak seperti Dewa 19, Noah atau Sheila On 7 yang digilai ramai terutama peminat wanita.

Jadi, tidak hairan kehadiran penonton ke Konsert 4 Dekad Slank ini agak 'suam-suam kuku'.

Golongan pekerja buruh dan 'working class' warga Indonesia di Kuala Lumpur yang biasanya dekat dengan Slank juga tak ramai yang tunjuk muka.

Bersesuaian dengan pengalaman dan taraf legenda mereka, Slank berjaya mempamerkan persembahan menghiburkan.

Paling ketara, 'sound' mereka cukup 'mesra telinga' dan tidak bingit walaupun memainkan muzik rock & roll dan sekali-sekala Kaka 'menarik' suaranya.

Tanpa banyak bicara, Slank memulakan persembahan dengan empat lagu wajib diketahui peminatnya iaitu I Miss U But I Hate U, Gara Gara Kamu, Virus dan Mars Slankers.

Slank sebenarnya band rock & roll yang 'simple'. Mereka tidak 'menjual' wajah jambu atau 'handsome' dan lebih dekat dengan kelompok marhaen.

Lirik pula lebih banyak mengenai kritikan sosial, politik, ekonomi dan cerita yang dekat dengan masyarakat. Jarang mereka tampil dengan lagu patah hati, jiwang atau puitis. Malah bahasa yang digunakan juga adalah bahasa pertuturan orang Indonesia terutama di Jakarta.

Dalam konsert ini, Slank turut mengundang Ratu Rock Malaysia, Ella di mana mereka berduet dalam lagu Pandangan Pertama.

Nampak keserasian dan 'kemesraan' antara Kaka dan Ella ketika menyanyikan lagu berentak ala dangdut itu. Ia adalah lagu nyanyian Slank bersama pelakon, Nirina Zubir yang dimuatkan dalam album runut bunyi Get Married pada 2007.

Ella kemudian turut menyanyikan dua lagu iaitu Kesal dan Sepi Sekuntum Mawar Merah.

SLANK terdiri daripada (dari kiri) Ridho (gitar), Bimbim (dram), Kaka (penyanyi), Ivanka (bass) dan Abdee (gitar).
SLANK terdiri daripada (dari kiri) Ridho (gitar), Bimbim (dram), Kaka (penyanyi), Ivanka (bass) dan Abdee (gitar).

Secara keseluruhannya, Slank tampil menghiburkan. Aura mereka berjaya membuatkan penonton menyanyi dan menari bersama.

Konsert berkenaan turut dihadiri artis tempatan antaranya Amy Search, Nasir Search dan penyanyi Pretty Ugly, Neves.

Lagu lain yang dibawakan Slank ialah Ku Di Negeri Orang, Kirim Aku Bunga, Tong Kosong, Bang Bang Tut, Bimbim Jangan Menangis, Terlalu Manis, Kuil Cinta, Maafkan, Ku Tak Bisa, Orkes Sakit Hati, Kamu Harus Pulang dan Ngeslank Rame Rame.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2023 @ 7:00 AM