DIANA kini padat dengan pelbagai projek. FOTO/FAIL
DIANA kini padat dengan pelbagai projek. FOTO/FAIL
Ramlah Zainal

KALI terakhir Datin Diana Danielle berlakon filem ialah menerusi Kami Histeria yang turut mendapat sambutan penggemar filem tempatan satu ketika dulu.

Selepas enam tahun tanpa sebarang filem, Diana, 27, kembali dengan filem terbaru, Gol & Gincu Vol 2 yang bakal ditayangkan bermula 25 Oktober ini.

Diana ketika ditemui berkata, dia tertarik membintangi filem berkenaan kerana ia memaparkan kisah realiti generasi muda hari ini.

“Ia juga menceritakan isu dan masalah membabitkan generasi muda termasuk media sosial. Selain fesyen dan sukan futsal, generasi muda perlu menggunakan media sosial dengan baik.

“Bagi saya, filem ini adalah karya yang boleh dibanggakan dan memberi impak positif dalam bidang perfileman tanah air,” katanya yang membawa watak Zakiah atau Zak dalam filem arahan Umi Salwana itu.

Gol & Gincu Vol. 2 menceritakan mengenai dua penuntut universiti yang memiliki nama sama iaitu Zak, tetapi personaliti mereka jauh berbeza.

Seorang lagi pelakon yang membawa watak Zak ialah Ummi Nazeera.

“Saya juga perlu menghadiri uji bakat bersama barisan pelakon utama filem itu. Uji bakat itu untuk mencari keserasian dua watak utama berkenaan.

“Akhirnya, selepas uji bakat saya dan Ummi terpilih melakonkan watak utama dalam filem ini. Saya anggap peluang berlakon dalam filem ini adalah rezeki dalam bidang lakonan.

“Saya juga bertuah kerana dapat bergandingan dengan Ummi buat pertama kalinya di layar perak. Menerusi sesi latihan yang diadakan, kami berjaya mendapat keserasian seperti dikehendaki skripnya,” katanya kepada RAP.

Bercerita mengenai wataknya, Diana berkata, dia juga sanggup mengorbankan rambutnya yang panjang demi menjiwai watak Zak dalam filem itu.

DIANA. FOTO/FAIL
DIANA. FOTO/FAIL

“Sebenarnya saya sudah lama menyimpan rambut panjang dan ada sebab yang kukuh memotong rambut pendek untuk menjiwai watak terbabit.

“Saya diminta penerbit untuk memotong rambut untuk membezakan watak dengan Ummi yang juga rakan sebilik saya dalam cerita ini,” katanya.

Ditanya jika ada pihak yang membandingkan lakonannya dengan pelakon popular Fazura dalam filem pertama Gol & Gincu, Diana sudah bersedia dengan sebarang kritikan daripada penonton.

“Saya harap penonton tidak membandingkan lakonan saya dengan Fazura dalam filem pertama dulu.

Sebenarnya tiada apa yang nak dibandingkan kerana filem ini berbeza dari segi jalan ceritanya dengan yang pertama.

“Jika ada persamaan pun ialah cerita mengenai fesyen dan futsal yang dipaparkan. Pelakon asal yang dikekalkan hanya Sazzy Falak dan Sharifah Amani. Pelakon lain semuanya wajah baru,” katanya.

Menurut Diana, watak Zak lebih menyerupai Shasha yang dilakonkan Sazzy dalam filem pertama.

“Watak Zak atau Yaya lakonan Ummi yang ceria dan periang juga ada persamaan dengan watak Putri lakonan Fazura dalam filem Gol & Gincu yang pertama.

“Saya yakin penonton terutama peminat siri Gol & Gincu akan menerima filem ini apabila ia ditayangkan hujung bulan ini,” katanya.

Berehat seketika untuk fokus keluarga

Sesibuk mana pun, Diana tetap pastikan karier seni dan keluarga bergerak seiringan.

Menurut isteri kepada pelakon dan pengarah terkenal, Datuk Farid Kamil ini, dia juga perlu bijak mengatur karier seni supaya rumah tangga tidak terabai.

“Alhamdulillah, saya bertuah kerana karier seni yang padat dengan pelbagai projek termasuk komersial diuruskan mama, Norsiah Ramli dengan baik. Mama juga pastikan saya ada masa untuk diri sendiri dan keluarga.

“Selepas selesai penggambaran filem Gol & Gincu Vol.2, saya berehat seketika dari bidang seni selama dua bulan. Maklumlah, dua anak kami semakin membesar dan memerlukan perhatian sepenuhnya daripada saya sebagai ibunya.

“Anak sulung, Muhammad seronok dengan alam persekolahannya, manakala Aurora pula hanya belajar di rumah kerana dia nampaknya tidak gembira ketika dimasukkan ke sekolah yang sama dengan abangnya sebelum ini. Aurora masih kecil dan saya mahu dia menikmati zaman kanak-kanaknya terlebih dulu,” katanya.

Diana dan Farid berkahwin pada 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 5, dan Aurora, 2.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Oktober 2018 @ 4:00 AM