DIANA Danielle. FOTO Asyraf Hamzah
DIANA Danielle. FOTO Asyraf Hamzah
Najiy Jefri

Pelakon jelita Datin Diana Danielle mengaku berdepan cabaran membesarkan anak lebih-lebih lagi dalam dunia serba moden dengan penggunaan gajet dan lambakan aplikasi media sosial.

Diana yang ditemui pada majlis pelancaran filem Gol & Gincu Vol. 2 baru-baru ini berkata, dia tidak menghalang anaknya menggunakan gajet namun meletakkan had supaya mereka tidak leka.

“Saya tidak boleh halang penggunaan gajet kepada anak kerana mereka perlu membesar dalam keadaan generasi sekarang. Kalau tidak diberi langsung nanti mereka ketinggalan, jadi saya akan bagi cuma perlu ada hadnya.

“Saya akui dahulu cabaran ibu saya lain, sekarang cabaran saya sebagai ibu pula lain. Saya tidak mahu menghalang perkembangan mereka kerana ibu saya dahulu juga banyak memberi kebebasan kepada saya agar belajar daripada pengalaman,” katanya.

Ditanya mengenai lambakan ibu selebriti yang berlumba-lumba mengejar jumlah pengikut buat anak mereka di media sosial, Diana bagaimanapun tidak mengambil pusing hal terbabit.

“Sejujurnya saya tidak kisah mengenai jumlah pengikut anak saya naik atau tidak. Saya berkongsi gambar dan video yang dirasakan perlu di laman sosialnya.

“Lagipun, saya bukan nak bersaing dengan ibu selebriti lain yang mungkin nak anak mereka diberi pendedahan dalam dunia hiburan. Saya selalu katakan kepada anak, guna Instagram misalnya adalah salah satu kerja, jadi mereka faham media sosial bukan satu cara hidup tetapi tuntutan kerja,” katanya.

Diana berkata, dia lega apabila kedua-dua anaknya, Muhammad dan Aurora tidak berminat mengintai peluang dalam bidang lakonan.

“Nampaknya mereka tidak berminat meskipun saya dan suami pernah cuba dedahkan mereka dengan dunia lakonan. Saya lihat Muhammad tidak berapa gemar dan Aurora pula rimas apabila beraksi di hadapan kamera.

“Bagaimanapun, kadangkala ada juga satu atau dua iklan yang saya benarkan untuk mereka terbabit tetapi keesokan harinya, kami perlu memujuk mereka dengan membelikan permainan baharu. Untuk berlakon dalam drama atau filem dalam masa terdekat saya rasa tidak,” katanya.

Beralih mengenai filem Gol & Gincu Vol. 2, Diana mengaku teruja sepanjang menjalani penggambaran kerana banyak mesej positif diterjemahkan dalam filem berkenaan.

“Saya percaya ramai yang tidak sabar mahu menonton filem Gol & Gincu memandangkan karya sebelum ini pernah menjadi kegilaan apabila ditayangkan 13 tahun lalu.

“Apa yang membuatkan saya terima tawaran filem ini kerana ia mengajar remaja zaman sekarang mengenai kesan jangka panjang penggunaan media sosial terhadap diri, keluarga dan kerjaya.

“Malah, tema yang diketengahkan sangat relevan dan membantu penonton untuk lebih berhati-hati dengan penggunaan media sosial. Bagaimanapun, naskhah ini masih mengekalkan sukan futsal, fesyen dan persahabatan sebagaimana karya terdahulu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 September 2018 @ 9:23 AM